PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

'Pagi gegaran, petang kami kena pindah' - mangsa banjir

SEGAMAT: "Pagi semalam kami dikejutkan dengan gegaran gempa lemah, petang pula kami dipindahkan kerana rumah dinaiki air," kata Raja Sahrin Tengku Ismail, 60, salah seorang mangsa banjir yang melanda di daerah ini, sejak malam tadi.

Warga emas yang menetap di Kampung Seberang Batu Badak berkata, kegusaran akibat gempa belum reda sebalik sekali lagi diuji dengan bencana banjir yang memaksanya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Pada jam 8.55 pagi semalam kami merasai gegaran, jam 8 malam pula, kami diarah berpindah selepas air sungai pula melimpah ke kediaman sekitar jam 1 tengah hari.

"Kebanyakan penduduk sudah lali dengan bencana ini kerana mereka tahu, hujung dan awal tahun akan berlaku monsun timur laut (MTL) yang menyebabkan banjir," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna Kampung Tasek, Jementah.

Raja Sahrin berkata, banjir kali ini dianggap antara paling teruk berlaku dan dipercayai berpunca benteng dibina tahun lalu pecah akibat strukturnya belum kukuh.

Seorang lagi mangsa banjir, Aishah Abd Hamid, 65 berkata, hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan rumahnya ditenggelami air hanya dalam tempoh tidak sampai dua jam.
 

"Saya keluar ke bandar Segamat sekitar jam 11 pagi untuk membeli barang keperluan namun pada jam 1 tengah hari, jiran memberitahu air sungai melimpah dan memasuki rumah saya.

"Saya bergegas pulang dan sebaik tiba, air sudah melepasi paras lutut. Banjir memang terjadi setiap tahun tetapi kali ini ia berlaku pada hari sama kampung kami dilanda gempa lemah.

"Cuma kami bimbang kebiasaannya air lambat surut yang menyebabkan berlaku banjir termenung," katanya.

Kampung Seberang Batu Badak adalah antara tujuh kampung dilanda banjir yang menyaksikan seramai 167 mangsa daripada 55 keluarga dipindahkan ke PPS.

Kesemua mereka mula dipindahkan ke PPS 8 malam tadi, selepas hujan berterusan sejak Jumaat dan Sabtu lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman, berkata Jalan Jabi-Bukit Tempurong ditutup kepada semua kenderaan susulan air naik sehingga 0.38 meter.

"Paras air dua sungai iaitu Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Muar di Buloh Kasap masih melepasi paras bahaya.

"Sungai Muar di Kampung Awat merekodkan bacaan 20.13 meter (m) melepasi paras bahaya 19.95 m manakala Sungai Muar di Buloh Kasap. 8.64 m melebihi paras 8.53 m," katanya.

Luruan monsun memasuki rantau negara bermula Khamis ini

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan luruan monsun memasuki rantau negara bermula 1 hingga 5 Januari depan.

Ketua Pengarah METMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Sarawak, selain angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.

“Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook METMalaysia, hari ini.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, METMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga di kawasan perairan timur laut Condore serta barat laut Reef North hingga Jumaat ini, dengan kelajuan angin lebih 60 kilometer (km)/jam dan ombak setinggi lebih 4.5 meter (m).

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai serta perkapalan, termasuk pekerja di pelantar minyak,” katanya.

Dalam tempoh sama, METMalaysia turut mengeluarkan amaran kategori kedua dengan angin berkelajuan 50 hingga 60km/jam dan ombak mencapai ketinggian hingga 4.5m yang dijangka berlaku di kawasan perairan Condore serta timur laut dan barat daya Reef North.

“Keadaan angin kencang serta laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri,” katanya.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan bagi kawasan perairan tenggara Samui, Tioman, utara Bunguran, tenggara dan utara Reef North, Layang-Layang serta barat Palawan.

Angin kencang berkelajuan 40 hingga 50km/jam dengan ketinggian ombak mencapai 3.5m dijangka berlaku di kawasan terbabit, yang berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – UTUSAN

Air sungai naik, bomba pantau lokasi risiko banjir di Segamat

SEGAMAT – Paras air di beberapa batang sungai di Bandar Baru Segamat di sini dilaporkan meningkat susulan hujan berterusan sejak awal pagi tadi sekali gus mencetuskan kebimbangan risiko banjir di kawasan rendah.

Susulan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat giat memantau banjir di beberapa lokasi berisiko bermula pukul 9 pagi hingga petang tadi bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin.

Menurut jurucakap BBP Bandar Baru Segamat, pemantauan itu dilakukan ke kawasan tumpuan iaitu Sungai Chodan, Kampung Seberang Batu Badak, Sungai Kapeh dan sepanjang Jalan Kampung Jawa–Medoi yang dikenal pasti berpotensi mengalami limpahan air sekiranya hujan berterusan.

“Pemeriksaan mendapati paras air sungai di lokasi terlibat meningakat, namun setakat ini masih terkawal dan belum memerlukan pemindahan penduduk,” katanya.

Dalam masa sama, pegawai BBP Bandar Baru Segamat turut menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dan memantau keadaan sekitar kediaman masing-masing.

“Ibu bapa khususnya diingatkan supaya mengawasi pergerakan anak-anak dan melarang mereka bermain di kawasan air atau berhampiran sungai bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk lemas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1.77 juta rakyat dilindungi 149 projek tebatan banjir

PETALING JAYA: Lebih 1.77  juta penduduk di seluruh negara kini mendapat perlindungan daripada risiko banjir hasil pelaksanaan 149 projek tebatan banjir.

Itu antara pencapaian menerusi kerjasama strategik pelbagai agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bagi tempoh 2024 hingga tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan penduduk, keselamatan infrastruktur serta agenda kemampanan negara.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, dalam sektor air, pelaksanaan Skim Pelabelan Kecekapan Produk Air (WEPLS) oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berjaya menjimatkan sehingga 85 peratus penggunaan air.

Katanya, Indah Water Konsortium (IWK) pula merekodkan pengoperasian lebih 7,000 loji rawatan kumbahan dengan kadar pematuhan efluen melebihi 97 peratus, selain melaksanakan program pengurusan lemak, minyak dan gris (FOG) serta penggunaan tenaga solar di loji rawatan kumbahan.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan 149 projek tebatan banjir yang memberi perlindungan kepada 1.77 juta penduduk, selain menjalankan pemuliharaan dan pembangunan sungai di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Fadillah berkata, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) membangunkan 21 loji rawatan air berkapasiti 2,081 juta liter sehari, selain menyiapkan Projek Langat 2 Fasa 1 berkapasiti 1,130 juta liter sehari dengan kos RM4.2 bilion.

Bagi sektor tenaga, katanya, pencapaian utama melibatkan Suruhanjaya Tenaga (ST), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan MyPOWER termasuk pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Pembaharuan Pasaran Elektrik Malaysia.

“SEDA merekodkan kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 3,409.64 megawatt, manakala ST melaksanakan Program Solar Skala Besar 5+ dengan kapasiti 1,975 megawatt serta mengeksport 50 megawatt elektrik hijau ke Singapura.

“Prestasi sektor tenaga turut ditunjukkan melalui penurunan Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) kepada 37.36 minit,” katanya. – UTUSAN

Luruan monsun diramal masuk rantau negara mulai 1 Januari

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan luruan monsun memasuki rantau negara, bermula 1 hingga 5 Januari depan.

Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Sarawak, selain angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.

"Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman sesawang: www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih," katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook METMalaysia, hari ini.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, METMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga di kawasan perairan timur laut Condore serta barat laut Reef North hingga Jumaat ini, dengan kelajuan angin lebih 60 kilometer (km)/jam dan ombak setinggi lebih 4.5 meter (m).

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai serta perkapalan, termasuk pekerja di pelantar minyak," katanya.

 

Dalam tempoh sama, METMalaysia turut mengeluarkan amaran kategori kedua dengan angin berkelajuan 50 hingga 60km/jam dan ombak mencapai ketinggian hingga 4.5m yang dijangka berlaku di kawasan perairan Condore serta timur laut dan barat daya Reef North.

"Keadaan angin kencang serta laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri," katanya.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan bagi kawasan perairan tenggara Samui, Tioman, utara Bunguran, tenggara dan utara Reef North, Layang-Layang serta barat Palawan.

Angin kencang berkelajuan 40 hingga 50km/jam dengan ketinggian ombak mencapai 3.5m dijangka berlaku di kawasan terbabit, yang berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search