SEREMBAN: Beberapa kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang dilaporkan berlaku di Negeri Sembilan khususnya di Port Dickson dan Seremban susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi kesan daripada Ribut Tropika Senyar yang melanda Selat Melaka dan pantai barat Semenanjung.
Di Seremban, kejadian tanah runtuh berlaku di Taman Bukit Berlian menyebabkan dua rumah terjejas.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ampangan, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Norazrul Fazri Ahmad berkata, pasukannya tiba di lokasi jam 4.07 pagi dan mendapati tanah runtuh berlaku di bahagian belakang dua rumah.
"Setibanya di lokasi, pasukan kami telah mengarahkan semua penghuni untuk mengosongkan rumah sebagai langkah keselamatan.
"Semua enam mangsa telah keluar dari kediaman masing-masing dan tiada kecederaan dilaporkan. Kawasan tersebut masih dalam pemantauan rapi pasukan bomba," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pokok tumbang dilaporkan berlaku berhampiran sebuah pusat beli-belah di Seremban jam 3 pagi tadi yang menyebabkan seorang lelaki yang menunggang motosikal cedera.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Sharizal Boahari berkata, mangsa berusia 61 tahun cedera selepas motosikal yang ditungganginya melanggar pokok tumbang.
"Ketika kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak sebelum melanggar pokok tersebut. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut." katanya.
Dalam kejadian berasingan di Port Dickson, sebuah kereta dilaporkan dihempap pokok tumbang berhampiran sebuah hotel di sini sekitar jam 3.15 pagi.
MARANG: Pembangunan pesat projek perumahan dan masalah perparitan didakwa menjadi punca banjir luar biasa di kawasan Bukit Payong di sini.
Penghulu Mukim Bukit Payong Ahmad Zafiri Ahmad Zaki berkata banjir tahun ini disifatkan sebagai paling teruk dalam tempoh 25 tahun.
KUALA LUMPUR: Hujan sangat lebat yang berterusan pada kategori bahaya dijangka berlaku di beberapa daerah di lima negeri termasuk Putrajaya hingga esok.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), amaran hujan berterusan itu dijangka berlaku di Kemaman, Terengganu; Maran, Kuantan dan Pekan di Pahang.
Selain itu, amaran sama turut dikeluarkan bagi tiga daerah di Selangor iaitu Klang, Kuala Langat dan Sepang serta Negeri Sembilan membabitkan Seremban dan Port Dickson.
"Amaran hujan berterusan bagi kategori buruk pula hingga esok dijangka berlaku di beberapa daerah di lapan negeri iaitu Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan Melaka dan Johor.
"Ia membabitkan daerah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim di Perak.
"Di Terengganu pula ialah di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun," katanya melalui siaran media, malam tadi.
Menurut METMalaysia, amaran hujan berterusan kategori buruk turut dikeluarkan di daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin di Pahang; serta Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor.
Katanya, amaran sama dikeluarkan bagi daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan serta Tangkak, Segamat dan Muar di Johor.
"Amaran hujan berterusan kategori waspada hingga esok pula membabitkan beberapa daerah di Kedah, Perak dan Johor serta keseluruhan Pulau Pinang serta Kelantan.
"Bagi Kedah, daerah yang dijangka berlaku hujan kategori waspada iaitu di Kulim dan Bandar Baharu; di Perak membabitkan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak serta Kuala Kangsar selain Batu Pahang, Kluang dan Mersing di Johor," katanya.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan, kepada Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan kerajaan Thailand, atas bantuan serta keprihatinan mereka dalam membantu rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di wilayah terjejas negara itu.
Anwar berkata, tindakan itu menggambarkan kekuatan hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Thailand serta semangat solidariti yang tinggi serta amat dihargai.
“Malaysia dan Thailand akan terus bekerjasama rapat demi keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya di laman sosial Facebook.
Beliau menegaskan Kerajaan sedang berusaha sedaya upaya memastikan semua rakyat Malaysia yang masih terkandas dapat dibawa pulang dengan selamat.
KUALA LUMPUR: Ribut Tropika Senyar adalah fenomena pertama yang terbentuk di Selat Melaka dan dikesan jarang berlaku.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ia terbentuk berikutan gabungan beberapa faktor cuaca luar biasa termasuk fenomena La Nina.
“Ini adalah kejadian pertama ribut tropika melintasi Selat Melaka.
“Ia berlaku kerana gabungan kelembapan tinggi, air laut hangat dan sistem tekanan rendah di Thailand yang berinteraksi dengan angin sejuk dari China,” katanya pada sidang media, hari ini.
Malaysia sebelum ini ujarnya, hanya merekodkan dua kejadian ribut tropika seumpamanya.
“Ini akan menjadi ribut tropika ketiga yang melanda negara selepas Greg yang melanda Sabah pada 26 Disember 1996 dan Vamei yang melanda selatan Semenanjung Malaysia pada 26 Disember 2001,” tambahnya.
Beliau berkata, pembentukan fenomena itu turut menarik perhatian dunia.
