PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Previous Next

Sesi Libat Urus bersama Media: Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 | 30 Oktober 2025
 
Sesi Libat Urus bersama media bagi membentangkan tahap kesiapsiagaan kerajaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 telah berlangsung hari ini di Dewan Wawasan, Markas SMART, Pulau Meranti, Puchong.
 
Program anjuran NADMA ini telah menghimpunkan pelbagai agensi utama dalam lapangan pengurusan bencana termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk membentangkan langkah persiapan dan pelan tindakan bagi menjelang MTL yang dijangka bermula awal November ini.
 
Sesi ini turut menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara agensi dan mempertingkatkan kefahaman media dalam menyampaikan maklumat bencana secara tepat, pantas dan bertanggungjawab kepada rakyat. Inisiatif ini seiring dengan pendekatan “Siaga Bencana, Tanggungjawab Bersama” yang menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi cabaran bencana yang semakin kompleks.
Previous Next

Perasmian Kursus Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) Sempena Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) Negeri Sarawak 2025 | 29 Oktober 2025 | Waterfront Hotel Kuching, Sarawak
 
YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah NADMA telah hadir sebagai tetamu kehormat di Majlis Perasmian Kursus Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) Sempena Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) Negeri Sarawak 2025. Program tersebut dirasmikan oleh YB Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian.
YB Timbalan Premier menekankan semangat Sarawak dalam gagasan Malaysia yang sentiasa bersedia untuk menjadi contoh terbaik termasuklah dalam kesiapsiagaan bencana dan atur gerak sumber dan keupayaan melalui pendekatan whole-of-government dan whole-of-society.
 
Pihak NADMA turut membentangkan mengenai Arahan NADMA No. 1, Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada peserta-peserta yang hadir terdiri daripada pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (Residen) dan ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dari pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selaku sekretariat JPBD, JPBB dan JPBN, Polis DiRaja Malaysia selaku Komander Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selaku Timbalan Komander PKTK, Jabatan Kebajikan Masyarakat, NGO serta sukarelawan-sukarelawan di Negeri Sarawak.
 
Penglibatan NADMA merupakan manifestasi kerjasama erat kerajaan persekutuan dan negeri dalam usaha menggembleng sumber dan upaya bagi menghadapi musim MTL 2025/2026.
Previous Next

Taklimat Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2025/2026 | 28 Oktober 2025 | Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Shah Alam
 
Telah berlangsung Taklimat Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2025/2026 yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota kesihatan dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir melalui pengetahuan tentang prosedur operasi standard (SOP) dan pelan tindak balas kesihatan semasa bencana serta memastikan koordinasi dan komunikasi berkesan antara fasiliti kesihatan, pasukan perubatan dan agensi berkaitan bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa banjir.
 
Selain itu, ia juga dapat mengukuhkan keupayaan respon kesihatan awam termasuk kawalan penyakit berjangkit, keselamatan makanan, air bersih serta pengurusan psikososial mangsa semasa dan selepas banjir. Dr Ajantha Segarmurthy, Timbalan Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi NADMA telah dijemput sebagai penceramah bagi menyampaikan taklimat bertajuk “Arahan NADMA No. 1”.
Previous Next

Majlis Penutupan Program Sekolah Angkat Madani (SAM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Tahun 2025 | 28 Oktober 2025 | Imperial Palace Hotel, Miri, Sarawak
 
Telah berlangsung Majlis Penutupan Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) NADMA yang disempurnakan oleh YBhg. Tuan Haji Hussain Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA. Program SAM telah diselaraskan secara bersama oleh Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
 
SMK St. Columba, Miri telah dipilih untuk dijadikan SAM NADMA tahun 2025 dan sebanyak RM100 ribu telah disalurkan kepada sekolah bertujuan untuk meningkatkan asas ilmu pengetahuan murid bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025.
 
Bagi persediaan menghadapi SPM tahun 2025, beberapa siri bengkel & kelas tambahan bagi kesemua subjek SPM telah diadakan sepanjang Program SAM ini berlangsung yang melibatkan beberapa buah sekolah di daerah Miri. Sebelum Majlis Penutupan SAM yang bermula pada jam 9.30 pagi, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA juga telah menyempurnakan sesi perasmian Papan Tanda SAM di SMK St. Columba, Miri.
 
Pada Majlis Penutupan SAM ini juga telah diadakan program motivasi kepada 163 orang murid yang akan menduduki Peperiksaan SPM pada Tahun 2025. Turut hadir dalam majlis Penutupan SAM adalah YBrs. Ir. Sulaiman Kamari, Pengarah Seksyen Teknikal dan Infrastruktur (STI), Encik Mohd Yusri Yusof, Ketua Penolong Pengarah Kanan STI, Encik Mohamad Naim Ab. Rahman, Penolong Pengarah Kanan STI serta pegawai NADMA yang lain.
Previous Next

Pelancaran Kesiapsiagaan Kementerian Pendidikan Malaysia Menghadapi Monsun Timur Laut 2025/2026 | 27 Oktober 2025 | Plaza Angsana, Johor Bahru
 
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama NADMA telah melancarkan program Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 bagi memperkukuh tahap persediaan sektor pendidikan menghadapi risiko bencana.
 
Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha KPM diiringi YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah NADMA yang turut sama menjayakan pelancaran program.
 
Antara pengisian utama program termasuk pelancaran Modul Pendidikan Pengurangan Risiko Bencana (DRR), pameran agensi penyelamat dan kesiapsiagaan serta peluncuran Skuad Ihsan Madani KPM Rakan NADMA sebagai simbolik kolaborasi kesiapsiagaan bersama warga pendidik.
 
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KPM dan NADMA dalam memperkukuh budaya keselamatan, kesedaran risiko dan kesiapsiagaan bencana di peringkat sekolah menjelang MTL 2025/2026.
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search