KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung bagi menghadapi Ujian Amali Sains Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada 9, 10 dan 12 Disember ini.
Melalui kenyataan hari ini, KPM memaklumkan langkah itu penting bagi memastikan ujian berkenaan dapat berjalan lancar dan tiada calon terjejas.
Ia susulan amaran Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) mengenai hujan berterusan yang dijangka berlaku sehingga 11 Disember di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir.
KPM sebelum ini memaklumkan semua calon SPM yang terjejas akibat banjir berjaya menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang bermula 2 Disember lalu selepas operasi memindahkan mereka melalui Ops Payung selesai sepenuhnya.
Semua calon SPM terjejas pindahkan ke tempat selamat iaitu ke asrama menerusi bantuan pelbagai agensi, dengan diberi kemudahan terbaik termasuk buku, internet dan komputer.
Dalam pada itu, KPM memaklumkan pihaknya mengambil serius amaran METMalaysia itu, lantas mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi.
"Semua jawatankuasa diminta melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir berdasarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran yang sedang berkuat kuasa, selain Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan KPM merangkumi tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas bencana banjir," katanya.
METMalaysia hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada membabitkan tujuh negeri bermula esok sehingga 11 Disember ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Pahang dan Johor diramal antara tujuh negeri yang dijangka terjejas teruk melalui gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu bermula esok.
Gelombang kedua banjir diramal bermula esok, Pahang, Johor dijangka terjejas - Ahmad Zahid
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu bermula esok, dengan Pahang dan Johor antara negeri yang dijangka turut terjejas dengan bencana itu kali ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, di Sabah dan Sarawak pula, banjir dijangka berlaku dalam tempoh penghujung bulan ini hingga Mac.
"Kita harap supaya tidak terjadi seperti mana gelombang pertama, kali ini gelombang kedua mungkin akan membabitkan Johor dan Pahang dengan lebih berat lagi, namun kesiapsiagaan melalui pengagihan perkhidmatan untuk aset dan pegawai serta anggota dan peralatan telah kita atur gerak.
"Kita harapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan penyelarasan terhadap usaha yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat pelepasan sukarelawan Skuad Misi Bantuan Pasca Banjir Barisan Nasional (BN) ke Pantai Timur dan Utara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir di tujuh negeri.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah di negeri terbabit banjir diarah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan terutamanya di kawasan berisiko tinggi.
Menurut KPM, semua jawatankuasa diminta melaksanakan tanggungjawab masing-masing berdasarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran yang berkuat kuasa serta merujuk Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan KPM yang merangkumi tindakan perlu diambil sebelum, semasa dan selepas banjir.
Arahan itu membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan luruan angin sejuk atau luruan monsun yang berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir dijangka melanda negara mulai esok hingga 14 Disember ini.
Sementara itu, KPM turut memaklumkan prosedur operasi standard Ops Payung telah diaktifkan bagi memastikan Ujian Amali Sains, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual pada 9, 10 dan 12 Disember berjalan lancar.
"KPM komited memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga KPM terpelihara dalam menghadapi bencana banjir," menurut kenyataan itu.
KAJANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menggerakkan Skuad Ihsan Madani KDN bagi melaksanakan misi bantuan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, skuad berkenaan membabitkan penyertaan seramai 100 sukarelawan terdiri daripada pegawai AADK di ibu pejabat, Pejabat AADK Selangor, Pejabat AADK Wilayah Persekutuan, Pejabat AADK Kelantan, Pejabat AADK Terengganu dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sepang.
Katanya, bagi misi bantuan ini, AADK meletakkan keutamaan bantuan pasca banjir ke dua kawasan terjejas teruk iaitu di sekitar Pasir Mas, Kelantan dan Besut, Terengganu.
“Inisiatif ini adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengkehendaki semua penjawat awam turut memainkan peranan yang sama dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
“Antara aktiviti dilakukan sukarelawan terbabit adalah menyantuni mangsa-mangsa banjir, melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan mengagihkan bantuan barang keperluan harian,” katanya selepas menyempurnakan sesi Flag Off #SkuadIhsanMadaniKDN ke Kelantan dan Terengganu tadi.
Dalam pada itu, Ruslin menambah, menerusi penubuhan skuad ini, AADK sentiasa bersedia untuk menggerakkan lebih ramai anggota bagi melaksanakan misi bantuan banjir ke negeri-negeri lain memerlukan.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok dan Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainuddin Abdullah.
Pahang, Johor antara 7 negeri diramal terima hujan tahap waspada mulai esok - METMalaysia
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Pahang dan Johor diramal antara tujuh negeri yang dijangka terjejas teruk melalui gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu bermula esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bagaimanapun kesiapsiagaan melalui pengagihan aset dan pegawai sudah mula diatur serta digerakkan ke kawasan berkenaan.
"Jabatan Meterologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan gelombang kedua mulai esok dan ini akan berjalan hingga 14 Disember ini.
"Kita harap tidak terjadi sebagaimana gelombang pertama, namun mungkin membabitkan Pahang dan Johor dengan lebih berat. Selain itu, hujung bulan ini hingga Mac gelombang banjir di kawasan sana (Sabah dan Sarawak).
"Namun kesiapsiagaan membabitkan aset, anggota, pegawai dan peralatan mula digerakkan," katanya kepada pemberita selepas pelepasan sukarelawan skuad misi bantuan banjir, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada membabitkan tujuh negeri bermula esok sehingga 11 Disember ini.
Terdahulu, METMalaysia memaklumkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku esok di lima negeri termasuk di Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak), Kelantan dan Terengganu.
Amaran sama diramal berlaku pada 9 Disember ini membabitkan negeri Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Mersing dan Kota Tinggi).
Sebelum ini, Ketua Pengarah METMalaysia, Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata luruan monsun dijangka berlaku bermula esok sehingga 14 Disember ini yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan di tujuh negeri.
Katanya, luruan monsun berskala lemah hingga sederhana itu diramalkan turut melanda Sarawak dan Sabah, termasuk negeri-negeri di barat Semenanjung apabila intensiti luruan semakin kuat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata,
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diharap dapat melakukan penyelarasan terhadap usaha dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara.
Beliau berkata, sehingga kini lebih 222,000 mangsa banjir di seluruh negara berjaya disantuni dan dibantu dalam mengurangkan beban mereka berdepan bencana alam itu.
Jumlah mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika ini adalah kurang daripada 10,000 orang.
