100 sukarelawan AADK bantu mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
KAJANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menggerakkan Skuad Ihsan Madani KDN bagi melaksanakan misi bantuan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, skuad berkenaan membabitkan penyertaan seramai 100 sukarelawan terdiri daripada pegawai AADK di ibu pejabat, Pejabat AADK Selangor, Pejabat AADK Wilayah Persekutuan, Pejabat AADK Kelantan, Pejabat AADK Terengganu dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sepang.
Katanya, bagi misi bantuan ini, AADK meletakkan keutamaan bantuan pasca banjir ke dua kawasan terjejas teruk iaitu di sekitar Pasir Mas, Kelantan dan Besut, Terengganu.
“Inisiatif ini adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengkehendaki semua penjawat awam turut memainkan peranan yang sama dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
“Antara aktiviti dilakukan sukarelawan terbabit adalah menyantuni mangsa-mangsa banjir, melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan mengagihkan bantuan barang keperluan harian,” katanya selepas menyempurnakan sesi Flag Off #SkuadIhsanMadaniKDN ke Kelantan dan Terengganu tadi.
Dalam pada itu, Ruslin menambah, menerusi penubuhan skuad ini, AADK sentiasa bersedia untuk menggerakkan lebih ramai anggota bagi melaksanakan misi bantuan banjir ke negeri-negeri lain memerlukan.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok dan Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainuddin Abdullah.