Kuala Lumpur: Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu beransur pulih dengan pengurangan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS), manakala Johor kembali dilanda bencana alam itu akibat hujan lebat semalam.
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir menurun kepada 623 orang setakat 4 petang semalam, berbanding 882 pada sebelah pagi dan daripada jumlah itu 621 ditempatkan di sembilan PPS di Tanah Merah, sementara dua lagi di PPS di Kuala Krai.
Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my memaklumkan Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya iaitu 9.0 meter (m).
Di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa di daerah Besut menurun kepada 238 orang setakat 4 petang, berbanding 651 orang pada 8 sebelah pagi.
Sementara itu, semakan di Portal Public Infobanjir mendapati paras air di Sungai Telemong di Kuala Ping (F1), Hulu Terengganu dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu melebihi paras amaran.
Di Johor, sebanyak 12 orang dari Kampung Baru Sungai Mas dalam daerah Kota Tinggi yang terjejas, kini ditempatkan di PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan paras Sungai Ulu Pontian Besar di
Kampung Melayu Bukit Batu, Kulai berada pada paras waspada dengan bacaan 11.49 m.
“Tiga daerah dilaporkan hujan petang ini (semalam) iaitu Mersing, Kluang dan Tangkak, manakala empat daerah mendung iaitu Muar, Segamat, Kota Tinggi dan Kulai sementara keadaan di Johor Bahru, Pontian dan Batu Pahat cerah,” katanya.
Banjir di Kelantan sejak kelmarin terus membawa cabaran besar apabila berlaku dua kejadian tanah runtuh dan dua jalan utama terputus di jajahan Machang.
Kejadian itu melumpuhkan pergerakan penduduk setempat dan meningkatkan risiko keselamatan di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub, berkata dua jalan terputus ialah Jalan Persekutuan di FT 479 Jalan Kemuning-bukit Belah dan jalan Negeri D16 Jalan Batu 30-Temangan akibat dinaiki air.
Beliau berkata, semua jalan yang terputus itu tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan berat dan ringan kerana kedalaman air kira-kira 0.8 meter.
“Dua kejadian tanah runtuh pula berlaku di jalan masuk ke stesen VHF Bukit Bakar dan FT 008 jalan Kota Bharu-gua Musang berdekatan dengan Dataran Bukit Belah.
“JKR meletakkan papan tanda amaran dan penghadang di kawasan terbabit supaya pengguna berhati-hati serta mematuhi peraturan ditetapkan supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya semalam.
Nik Soh berkata, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif dan melayari laman web https://bencana.jkr.gov.my/ untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai situasi semasa, seperti jalan tutup dan tanah runtuh yang berlaku di kawasan terbabit, seperti laporan BERNAMA.
Kerugian RM20,000
Sementara itu di Tanah Merah, Masjid Haji Abdullah, Mukim Panglima Bayu, di sini kerugian hampir RM20,000 selepas rosak akibat banjir yang turut membawa arus sangat deras.
Imam masjid, Adli Ab Halim, berkata banjir dengan arus yang sangat deras seakan-akan kepala air, bermula jam 3 petang dan surut pada jam 10 malam hari sama, kelmarin susulan hujan hulu di kawasan bukit berdekatan.
Katanya, kerugian itu membabitkan kerosakan teruk di bahagian luar masjid termasuk meja, kerusi, pagar dan tempat parkir yang berlubang susulan arus yang sangat deras.
“Bagaimana pun, kami bersyukur kerana air tidak memasuki bahagian dalam masjid dan sudah pasti nilai kerugian lebih tinggi jika berlaku demikian. Masjid ini sebenarnya sudah dibina semula dengan lebih tinggi kerana hampir setiap tahun dilanda banjir.
“Banjir semalam selama lapan jam, lebih teruk berbanding gelombang pertama pada hujung bulan lalu, tambahan pula ia terletak berhadapan jalan utama yang dilalui kenderaan berat.
“Apabila kenderaan berat melalui jalan ini, arus banjir semakin deras menyebabkan banyak kerosakan, padahal pengurusan masjid baru sahaja membaik pulih kerosakan akibat bah gelombang pertama,” katanya.
Adli berkata, ahli jawatankuasa masjid bersama penduduk kampung akan bergotong-royong untuk membersihkan halaman yang dinaiki air.
“Selagi Monsun Timur Laut (MTL) masih belum tamat, pihak pengurusan masjid tidak dapat tidur lena,” katanya.
‘Diterjah’ air setinggi dua kaki
- Admin UKK
- Berita
Penduduk terjejas akibat benteng takungan air Taman Sri Alam di Saujana Utama di sini yang pecah petang kelmarin mendakwa terdengar dentuman kuat sebelum air melimpah deras memasuki rumah penduduk berhampiran.
Hafifi Saleh, 38, berkata sebelum kejadian dia berada di luar rumah berbual bersama rakan dan ketika itu hujan sudah berhenti.
“Ketika berbual saya mendengar dentuman kuat dan melihat benteng takungan air runtuh dan air mengalir deras memasuki rumah saya dan rumah jiran.
“Saya kemudian bersama isteri dan anak saya masuk ke dalam pacuan empat roda untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Hafifi yang bekerja sendiri berkata dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan dalam rumahnya berikutan kejadian berlaku amat pantas dan air yang deras.
“Air masuk ke dalam rumah setinggi dua kaki… banyak perabot dan barangan rosak,” katanya.
Seorang lagi penduduk Samsudin Adun, 49, berkata kejadian petang tadi (petang kelmarin) adalah yang kedua berlaku selepas kejadian pertama pada 2014 tetapi ketika itu tidak seteruk hari ini.
Ketika kejadian dia sekeluarga tiada di rumah dan hanya mengetahui perkara berkenaan melalui kumpulan WhatsApp taman berkenaan.
“Ada jiran maklumkan benteng takungan air di depan rumah runtuh dan berlaku banjir kilat, saya dan keluarga bergegas pulang dan mendapati rumah dimasuki air setinggi dua kaki bagaimanapun surut dalam 30 minit kemudian,” katanya.
Dia berharap pihak bertanggungjawab membaiki tembok berkenaan segera berikutan kawasan itu sering dilanda hujan lebat kerana Monsun Timur Laut. Sementara itu, Ahli Majlis Zon 23 Majlis Perbandaran Kuala Selangor Maisarah Ismail berkata pihaknya akan membina benteng penghadang sementara di kawasan runtuhan bagi mengelakkan limpahan air berlaku lagi jika hujan lebat.
Beliau berkata dianggarkan 10 rumah terjejas teruk dan pihaknya telah menasihati mangsa untuk berpindah tetapi penduduk memilih kekal berada di rumah memandangkan air sudah surut dan mereka boleh melakukan kerja-kerja pembersihan.
“Kerja-kerja membersihkan rumah yang terjejas dan sisa runtuhan akan dilakukan malam ini juga sebelum kerja membina benteng penghadang sementara dibuat,” katanya.
Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.15 petang.
Benteng berkenaan pecah menyebabkan air melimpah ke seluruh taman perumahan itu namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Dua jalan utama terputus
- Admin UKK
- Berita
Fenomena banjir melanda Kelantan sejak kelmarin terus membawa cabaran besar apabila berlaku dua kejadian tanah runtuh dan dua jalan utama terputus di jajahan Machang.
Insiden ini bukan sahaja melumpuhkan pergerakan penduduk setempat, tetapi juga meningkatkan risiko keselamatan di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Soh Yaacoub berkata dua jalan yang terputus ialah jalan Persekutuan di FT 479 Jalan Kemuning–Bukit Belah dan jalan Negeri D16 Jalan Batu 30–Temangan akibat dinaiki air.
Beliau berkata kesemua jalan yang terputus itu tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan berat dan ringan kerana kedalaman air kira-kira 0.8 meter.
“Dua kejadian tanah runtuh pula berlaku di jalan masuk ke stesen VHF Bukit Bakar dan FT 008 jalan Kota Bharu–Gua Musang berdekatan dengan Dataran Bukit Belah,” katanya.
Nik Soh berkata pengguna boleh menggunakan laluan alternatif dan melayari laman web https://bencana.jkr.gov.my/ untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai situasi semasa, seperti jalan tutup dan tanah runtuh yang berlaku di kawasan terlibat.
Kuala Lumpur: Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu pagi semalam semakin buruk dengan peningkatan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 882 orang setakat pukul 8 pagi semalam, melibatkan 267 keluarga di 19 PPS berbanding 482 mangsa malam kelmarin.
Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jajahan Tanah Merah mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 633 orang daripada 208 keluarga di 13 PPS, diikuti Kuala Krai 165 mangsa daripada 38 keluarga di empat PPS dan Machang 84 mangsa daripada 21 keluarga di dua PPS.
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati paras Sungai Golok di Rantau Panjang sudah melepasi paras bahaya iaitu 9.11 meter (bahaya 9.0 meter).
Dua sungai di Tanah Merah dicatatkan berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob pada paras 23.16 meter (amaran 22.5 meter) dan Sungai Sokor pada paras 22.49 meter (amaran 21.0 meter).
Di Terengganu pula jumlah mangsa meningkat kepada 651 mangsa daripada 177 keluarga pagi semalam berbanding 112 orang daripada 37 keluarga malam kelmarin.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri
Terengganu (JPBNT) memaklumkan Hulu Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 412 orang daripada 111 keluarga, diikuti Besut (228 mangsa, 61 keluarga) dan Kemaman (11 mangsa, lima keluarga).
Kesemua mereka kini ditempatkan di 17 PPS dan trend jumlah mangsa masih menunjukkan peningkatan susulan hujan berterusan di beberapa kawasan di negeri itu.
Sementara itu, semakan di portal Public InfoBanjir menunjukkan hanya stesen Sungai Telemong di Kuala Ping (F1) daerah Hulu Terengganu mencatatkan tahap bahaya iaitu 20.89 meter.
Selain itu, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman; Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia (F1), Kuala Terengganu dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu berada pada paras amaran.
