PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kebakaran rumah bersiri beri cabaran buat anggota BBP Baling

Baling: Kebakaran sembilan rumah di Kupang, di sini, sejak 24 Disember hingga 12 Januari lalu menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan buat pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling.

Ini kerana kebakaran yang berlaku berselang seli itu tidak pernah dilalui mereka berbanding operasi pemadaman kebakaran biasa sebelum ini.

Penyelia BBP Baling Muhammad Yunus Ali berkata, sepanjang 32 tahun bertugas dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), insiden terbabit sangat mencabar buatnya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana dapat menjalankan tugas dengan baik terutama menghadiri dua kebakaran di Kupang pada 26 Disember lalu.

"Ini kali pertama saya berdepan dengan cabaran memadam kebakaran seperti ini yang berlaku secara bersiri terutama pada 26 Disember tahun lalu apabila menghadiri dua kebakaran pada awal pagi.

"Kami perlu lupakan sementara penat, yang penting kena pastikan perlu hadiri setiap panggilan yang diterima untuk memastikan keselamatan nyawa serta harta benda," katanya ketika ditemui di BBP Baling, di sini, hari ini.

Menurutnya, pada pagi 26 Disember lalu, dia yang mengetuai pasukan kru B menerima panggilan pertama pada 2.09 pagi berhubung kebakaran sebuah rumah di Kampung Tanah Periuk, Kupang.

Katanya, sebaik selesai memadam kebakaran itu, mereka sekali lagi menerima panggilan kebakaran hanya 500 meter dari lokasi kebakaran pertama di kawasan itu, kira-kira 4 pagi.

"Kami baru hendak beredar dari memadam kebakaran rumah pertama, namun menerima panggilan daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah memaklumkan ada kebakaran motosikal pula.

"Apabila saya melihat alamat diberi, kami masih berada di kampung berkenaan dan bergegas ke lokasi yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari rumah terbakar yang pertama," katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran rumah itu pada 23 Disember tahun lalu dan disusuli pada 24 Disember serta dua kebakaran pada 26 Disember.

Menurutnya, kebakaran rumah itu berlaku lagi pada 28 Disember, diikuti 1 Januari dan 12 Januari lalu.

"Hasil siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran, kebakaran yang berlaku pada 24 Disember hingga 12 Januari lalu didapati mempunyai unsur khianat.

"Walaupun ada dakwaan mengaitkan kejadian itu mempunyai unsur mistik atau ilmu hitam tapi bagi saya, kami hanya menjalankan tugas memadam kebakaran," katanya.

Katanya, kerjasama penduduk di kawasan itu juga sangat baik, malah turut membantu.

 

Wilayah Persekutuan fokus atasi perubahan iklim dan banjir kilat

PUTRAJAYA, 26 Januari – Wilayah Persekutuan turut menerima kesan perubahan iklim, termasuk peningkatan kes banjir kilat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Untuk itu, beliau berkata konsep "Chase City" merupakan salah satu langkah strategik untuk menangani isu tersebut.

“Wilayah Persekutuan juga terkesan dengan perubahan iklim, termasuk taburan hujan yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan banjir kilat di kawasan yang tidak dijangka. Ini memerlukan kita sentiasa bersedia menghadapi perubahan besar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Car Free Day (CFT) yang diadakan serentak dengan kempen Kibar Bendera sempena Hari Wilayah Persekutuan 2025, di sini.

Dr. Zaliha turut mengumumkan perancangan untuk memperluaskan program CFT kepada tempoh 24 jam sehari.

“Sebelum ini, program ini hanya berlangsung pada waktu pagi. Kami sedang mengkaji untuk melaksanakannya sepanjang hari jika mendapat sambutan positif,” tambahnya.

Program bulanan yang berlangsung pada minggu kedua setiap bulan itu merupakan sebahagian daripada visi Chase City, yang menekankan bandar mesra alam, selamat, dan sihat.

Arab Saudi dijangka dilanda hujan lebat, ribut petir

RIYADH: Pihak berkuasa meteorologi Arab Saudi mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir yang dijangka melanda hampir keseluruhan negara sehingga Isnin ini.

Keadaan cuaca buruk itu diramalkan memberi kesan besar kepada kehidupan harian penduduk, dengan kawasan rendah dan lembah terdedah kepada risiko banjir kilat.

Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM), keadaan cuaca berawan bermula pada 23 Januari dengan hujan sederhana hingga lebat di kawasan selatan dan barat laut negara.

Semalam, hujan lebat melanda kawasan utara dan selatan, manakala hujan lebat turut dijangka berlaku di ibu negara, Riyadh, pada hujung minggu.

"Hujan lebat dijangka di kebanyakan wilayah, termasuk Makkah, Riyadh, Al-Baha, Asir, Jazan, Qassim, Hail, dan Wilayah Timur. Angin kencang dan ribut petir dijangka diikuti dengan hujan," kata jurucakap NCM dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Pertahanan Awam mengeluarkan amaran keselamatan kepada semua penduduk, meminta mereka untuk menjauhkan diri daripada kawasan rendah dan lembah yang terdedah kepada banjir kilat.

"Elakkan daripada berada di kawasan lembah semasa hujan lebat, dan jauhkan diri daripada air bertakung yang boleh menjadi perangkap maut," katanya.

Bagi kawasan seperti Madinah, hujan ringan hingga sederhana dijangka berlaku, manakala Najran dan Tabuk mungkin hanya menerima hujan renyai. Angin kencang yang membawa debu juga dijangka melanda beberapa kawasan, menyebabkan jarak penglihatan berkurangan secara ketara.

Cuaca buruk itu berlaku ketika persiapan untuk bulan Ramadan dan musim haji sedang giat dijalankan.

Dalam usaha memastikan keselamatan jemaah, NCM melancarkan latihan bagi kakitangan Presiden Urusan Keagamaan di Dua Masjid Suci.

Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan terhadap kesan cuaca melampau yang mungkin berlaku semasa musim haji.

"Kami mahu memastikan bahawa semua pihak, termasuk jemaah, dapat menghadapi sebarang kemungkinan cuaca buruk dengan lebih baik," kata Dr Khaled Al-Zahrani, seorang pegawai kanan NCM.

Selain itu, penduduk juga digalakkan untuk sentiasa memantau perkembangan cuaca terkini melalui aplikasi rasmi NCM dan saluran komunikasi Pertahanan Awam. - AGENSI

Bangunan 3 tingkat runtuh di Turkiye

ISTANBUL: Sebuah bangunan tiga tingkat di wilayah tengah Konya, Turkiye, runtuh semalam menyebabkan operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran dilancarkan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Kejadian itu berlaku di Daerah Selcuklu, yang mana saksi segera melaporkan insiden berkenaan kepada pihak berkuasa, lantas Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), polis, serta perkhidmatan kecemasan bergegas ke lokasi.

Operasi mencari dan menyelamat dimulakan selepas laporan menunjukkan terdapat mangsa yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan. Pihak berkuasa menggesa orang ramai yang berada di lokasi supaya kekal senyap bagi memudahkan usaha menyelamat.

Selepas lima jam operasi, dua mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya mengesahkan pasukan respons terdiri daripada 99 anggota dan 27 kenderaan daripada Pengarah AFAD, bersama 120 anggota bomba, polis, dan pasukan perubatan.

 

"Pusat Panggilan Kecemasan 112 menerima panggilan pada pukul 8.05 malam (1705GMT) dan pasukan AFAD tiba di lokasi pada 8.15 malam (1715GMT)," tulis Yerlikaya di X.

Beliau turut memaklumkan pasukan tambahan dari wilayah berhampiran termasuk Ankara, Eskisehir, Antalya, dan Mersin telah dihantar ke lokasi.

Yerlikaya memberitahu wartawan bahawa tiga mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan dan sekurang-kurangnya seorang mangsa telah dikenal pasti masih hidup.

AFAD mengesahkan penghantaran 200 anggota termasuk pasukan penyelamat, polis, bomba, dan unit perubatan dengan bantuan tambahan dari wilayah berdekatan. "Kami memantau perkembangan secara dekat," kata kenyataan itu.

Datuk Bandar Konya, Ugur Ibrahim Altay memaklumkan bangunan itu mempunyai lesen tetapi tidak termasuk dalam projek pembaharuan bandar.

"Bangunan ini mengandungi 14 unit apartmen, namun 12 daripadanya dilaporkan kosong. Operasi mencari dan menyelamat sedang diteruskan. Kami berharap untuk berita baik dan memohon doa," tulis Altay di X.

Naib Presiden Turkiye, Cevdet Yilmaz, yang berada di Konya untuk mesyuarat melawat lokasi kejadian dan menegaskan keutamaan adalah menyelamatkan nyawa.

"Matlamat utama kami adalah menyelamatkan nyawa. Semua sumber yang diperlukan telah dikerahkan," katanya.

Muhammed Veli Kahya, 22, menceritakan detik-detik cemas sebelum bangunan itu runtuh.

"Isteri saya menelefon, mengatakan bangunan bergoncang. Saya bergegas pulang dan membantu jiran keluar. Sebaik saya melangkah keluar, bangunan itu runtuh di depan mata saya," katanya. – BERNAMA-AA

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search