Gempa bumi 6.4 magnitud landa Taiwan
- Admin UKK
- Berita
TAIWAN: Gempa bumi berkekuatan 6.4 magnitud melanda kawasan pergunungan di berhampiran bandar chiayi, selatan Taiwan, tangah malam tadi waktu tempatan.
Menurut pihak berkuasa, gegaran turut dirasai sehingga ke ibu kota Taipei dan terdapat laporan kerosakan kecil diterima.
Pusat gempa terletak di kawasan perkampungan Dapu dalam daerah Chiayi pada kedalaman 9.4 kilometer.
Terdapat juga laporan mendakwa ada beberapa individu terperangkap dalam bangunan rosak dengan sebahagian daripadanya sudah diselamatkan.
Setakat ini, tiada kehilangan nyawa dilaporkan.
Gempa besar terakhir di taiwan berlaku pada April lalu, apabila gempa magnitud 7.2 melanda daerah Hualien, mengorbankan 13 orang.
KEMAMAN: Kerajaan Negeri Terengganu bercadang untuk memohon bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menangani isu hakisan pantai yang semakin serius di Pantai Kijal.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, fenomena perubahan iklim, khususnya semasa musim tengkujuh, telah mengakibatkan hakisan ketara di kawasan tersebut.
“Tahun 2025 dijangka lebih mencabar dengan fenomena pertembungan air pasang, angin kencang dan hujan lebat.
“Walaupun tiada rumah yang rosak, hakisan pantai semakin ketara dan menjadikan pantai ini semakin nipis,” katanya memetik laporan pemberita TRDI pada tinjauan hakisan di Pantai Teluk Kalong, kelmarin.
Lawatan tersebut melibatkan Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Kemaman, serta Ahli Majlis Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Menurut Razali, satu pelan jangka pendek dan panjang perlu dirangka bagi memastikan kawasan pantai ini kekal terpelihara serta selamat.
“Usaha ini penting untuk melindungi Pantai Kijal, bukan sahaja untuk mengelak kemusnahan alam sekitar tetapi juga untuk mengekalkan pantai ini sebagai destinasi pelancongan utama di Terengganu.
“Saya menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan penduduk setempat bagi memastikan usaha ini berjaya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/1/2025
KUALA LUMPUR: Bacaan udara di kawasan yang terjejas akibat kebakaran dan letupan kilang kimia di Taman Perindustrian Kapar Bestari, Selangor petang semalam kembali normal.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, ia selepas Unit Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) melakukan proses untuk meneutralkan tumpahan asid di kilang terbabit.
Pasukan berkenaan juga telah menjalankan pengujian udara terhadap bahan terlibat yang dikenal pasti ‘recycle acid’.
“Bacaan udara oksigen sudah normal cuma masih ada bau-bau sikit, bau asid dengan tumpahan asid di lantai kilang. Saya rasa malam ni atau sampai pagi esok selesai lah dari pihak bomba.
“Selepas ni diambil alih oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kontraktor pembersihan ini”, katanya kepada Buletin TV3.
Siasatan lanjut bagi mengenal pasti jumlah kerugian masih dijalankan memandangkan kesan insiden turut menjejaskan beberapa kilang berhampiran.
Punca utama insiden sedang disiasat JAS.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan awal polis mendapati insiden berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di pekarangan sebuah kilang kimia.
Laporan berhubung kebakaran itu diterima bomba pada jam 4.32 petang semalam.
Insiden tidak membabitkan kemalangan jiwa, namun letupan mengejutkan penduduk sekitar selain menyebabkan kepulan asap tebal, selain menggegarkan kediaman dan premis berhampiran.
Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) diminta mengkaji kemungkinan mereka bentuk loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembetungan yang dapat membantu menangani masalah banjir kilat terutama di kawasan bandar.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata antara inisiatif boleh difikirkan adalah pelaksanaan combined sewer, iaitu penggabungan air kumbahan dan air larian permukaan yang berpotensi mengurangkan masalah banjir kilat dan juga pelaksanaan deep sewer yang diaplikasikan di Singapura bagi menangani isu banjir.
“Kita sebenarnya sudah mencapai beberapa pencapaian dalam menguruskan kumbahan, bukan hanya memodenkan proses menguruskan kumbahan tetapi juga untuk tujuan dwifungsi.
“Sebagai contoh, Loji Rawatan Bersepadu di Lembah Pantai yang bukan sahaja menempatkan loji, tetapi juga menempatkan kawasan rekreasi. Sekiranya diteliti dengan lebih mendalam pada peringkat perancangan, mungkin boleh kita fikirkan untuk kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dari sudut rekaan untuk mengambil kira (loji) kumbahan juga untuk tujuan mengurangkan risiko banjir kilat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Projek Pakej D41 dan D42: Kerjakerja Penyambungan Premis Ke Pembetungan Awam Di Kawasan Taman Shanghai, Jalan Jugra,
Jalan Tan Yew Lai 1, Ampang Hilir dan Jalan Damai di sini, semalam.
Beri keselesaan penghuni
Terdahulu, Akmal Nasrullah dalam ucapannya berkata, Projek Pakej D41 dan D42 adalah satu daripada inisiatif kerajaan untuk melakukan penyambungan paip lateral daripada tangki septik yang berada di dalam premis atau rumah persendirian dan disalurkan ke paip pembetungan awam sedia ada.
Beliau berkata, melalui penyambungan itu, tangki septik yang berada dalam kawasan premis atau rumah dapat dinyahtauliah, sekali gus akan memberi lebih keselesaan kepada penghuni.
“Penghuni rumah juga tidak lagi terbeban untuk membuat pengosongan tangki septik setiap tahun dan dapat menikmati persekitaran yang bebas daripada gangguan bau kumbahan yang tidak menyenangkan,” katanya. BERNAMA
Jalan masuk ke Kampung Pasik, Pos Pasik yang rosak teruk berikutan hujan sejak lebih seminggu lalu memaksa penduduk mengambil inisiatif membaikinya.
Penduduk, Mohd Sani Nahtiman, berkata dia bersama 19 lagi penduduk terpaksa membaiki jalan berkenaan kerana penduduk sukar melaluinya.
Katanya, jalan menuju ke penempatan mereka sehingga kini masih menggunakan jalan tanah merah dan sering rosak teruk.
“Apabila cuaca hujan berterusan, keadaan semakin teruk sehingga menyukarkan penduduk keluar dari perkampungan kami.
“Jadi, semalam (kelmarin) kami mengambil inisiatif untuk membaiki jalan ini bagi membolehkan kami keluar dari perkampungan untuk membeli barangan keperluan atau melakukan pelbagai urusan lain di Bandar Gua Musang.
“Dengan menggunakan kenderaan penduduk kami memunggah batu sungai untuk diletakkan di kawasan yang rosak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mohd Sani berkata, dia berharap jalan yang rosak dapat diselenggara secepat mungkin untuk kemudahan dan keselamatan penduduk keluar masuk ke perkampungan Orang Asli itu.
Katanya, pelbagai kesukaran terpaksa ditempuh penduduk di Pos Pasik terutama apabila tiba musim hujan kerana adakala penduduk terpaksa mengambil masa sehingga lapan jam dengan jarak 40 kilometer untuk ke jalan utama.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, berkata pihaknya sedia maklum dengan masalah penduduk di Pos Pasik dan akan cuba membantu bagi mengetengahkan masalah penduduk kepada agensi kerajaan.