Kekangan kewangan antara cabaran utama tangani banjir – TPM Fadillah
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kekangan sumber kewangan antara cabaran utama kerajaan dalam melaksanakan persediaan bagi menghadapi bencana banjir di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata meskipun kerajaan menyediakan peruntukan kecemasan, jumlahnya terhad dan hanya boleh digunakan apabila berlaku bencana.
Katanya, usaha menangani masalah banjir memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan secara bersepadu.
"Secara umumnya, masalah banjir ini membabitkan Kerajaan Persekutuan, negeri dan tempatan. Sebab itu, kita perlu melihat bagaimana tindakan bersama dapat dilaksanakan.
"Antara cabaran kita hadapi ialah kekangan sumber kewangan. Kita mempunyai pendekatan jangka panjang dan sederhana bagi menangani masalah ini.
"Sudah pasti kita juga mempunyai peruntukan kecemasan, tetapi jumlahnya terhad dan hanya boleh digunakan untuk mengambil tindakan segera apabila berlaku bencana," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata, kementerian menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut melaksanakan pendekatan berstruktur dan tidak berstruktur bagi mengurangkan risiko banjir di seluruh negara.
Menurutnya, kedua-dua pendekatan itu dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PBT.
"Usaha mitigasi banjir perlu dilihat secara menyeluruh merentas butiran pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) termasuk tebatan banjir, pengurusan sungai dan saliran serta pengukuhan infrastruktur kawalan banjir," katanya.
