PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Malaysia bawa cadangan tangani jerebu rentas sempadan ke peringkat ASEAN

Malaysia bawa cadangan tangani jerebu rentas sempadan ke peringkat ASEAN

KUALA LUMPUR: Malaysia akan membawa cadangan tidak rasmi (non-paper) ke mesyuarat peringkat menteri ASEAN pada 14 November ini bagi membentuk kerangka kerjasama serantau untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan itu bertujuan memastikan negara anggota ASEAN dapat saling membantu jika berlaku kebakaran hutan atau masalah jerebu di negara masing-masing, yang berulang setiap tahun khususnya pada suku kedua dan ketiga.

Katanya lagi, cadangan itu akan dibincangkan di peringkat menteri terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat ketua-ketua negara sekiranya perlu.

“Bagaimanapun, saya akan membawa cadangan tidak rasmi (non-paper) ke mesyuarat peringkat menteri ASEAN kerana agenda mesyuarat itu sudah ditetapkan lebih awal.

“Cadangan itu akan dibincangkan bagi membentuk kerangka kerjasama yang jelas untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan, sekali gus memastikan negara anggota ASEAN dapat saling membantu sekiranya berlaku kebakaran hutan atau masalah jerebu di negara masing-masing,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya lagi, Malaysia bersedia menghantar pasukan bomba dan tiga helikopter ke Indonesia bagi membantu operasi memadam kebakaran, namun keadaan cuaca dan jarak penglihatan yang terlalu rendah menghalang pesawat daripada beroperasi dengan selamat.

Katanya, tahap penglihatan di kawasan terjejas dilaporkan kurang daripada 50 meter, sekali gus menjadikan operasi udara berbahaya. – UTUSAN
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search