Malaysia teliti bantuan tambahan padam kebakaran hutan di Indonesia
- Admin UKK
- Berita
AYER KEROH: Malaysia meneliti bentuk bantuan tambahan yang boleh disalur kepada Indonesia bagi memadam kebakaran hutan yang semakin tidak terkawal, termasuk kemungkinan menggerakkan aset udara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata cadangan bantuan itu sedang dibincang oleh pegawai kanan kedua-dua negara sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan.
Beliau berkata, antara bantuan yang dipertimbang ialah penggunaan helikopter dan pesawat pengebom air bagi membantu operasi memadam kebakaran di kawasan terjejas.
"Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini berunding dengan rakan sejawat masing-masing berhubung perkara itu.
"Hasil perbincangan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat bagi kelulusan menghantar bantuan bersesuaian," katanya selepas menutup Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) ke-10 di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang meluas di negara itu, susulan keputusan Presiden Prabowo Subianto meluluskan tawaran bantuan daripada negara jiran.
Mohamad berkata, Malaysia tidak boleh berdiam memandangkan kebakaran hutan di Indonesia turut memberi kesan kepada negara serantau, namun sebarang operasi bantuan perlu mengambil kira faktor keselamatan.
Katanya, operasi memadamkan kebakaran berdepan cabaran besar kerana lokasi kebakaran jauh di kawasan pedalaman, selain keadaan jerebu tebal yang menjejaskan jarak penglihatan.
"Memang susah untuk menghantar trak atau peralatan lain kerana kebakaran berlaku jauh di pedalaman.
"Pilihan yang ada ialah memadamkan kebakaran menggunakan pesawat, tetapi pesawat juga berdepan masalah untuk terbang disebabkan ketebalan jerebu.
"Jarak penglihatan dilaporkan tidak sampai 50 meter, manakala indeks pencemaran di kawasan Kalimantan mencecah 1,000," katanya.
Beliau berkata, keadaan itu turut menyebabkan pasukan Jepun yang sebelum ini terbabit dalam usaha membantu operasi terpaksa pulang kerana tidak dapat meneruskan misi.
Katanya, Malaysia akan memastikan sebarang bantuan udara dilaksanakan secara berhati-hati dan tidak membahayakan juruterbang serta anggota yang terbabit.
