PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Rumah hanya tinggal semeter dari laut

Rumah hanya tinggal semeter dari laut

KUALA NERUS – Kira-kira 11 tahun lalu pesisir pantai terletak ratusan meter dari belakang rumah penduduk Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, namun feno­mena hakisan pantai saban tahun ketika Monsun Timur Laut (MTL) mengakibatkan jarak tersebut tinggal kira-kira semeter.

MTL yang dijangka tiba kurang dua minggu lagi membuatkan penduduk tidak lena tidur, malan pokok kelapa di belakang rumah yang menjadi ‘benteng’ pun sudah mula menyembah bumi serta terendam air laut.

Seorang penduduk, Miasni Ab. Wahab, 38, berkata, sebelum ini, tiga rumah jirannya dan surau kampung mereka sudah tenggelam menjadi sebahagian Laut China Selatan.

“Rumah saya sendiri dan kedai makan diusahakan kini ha­nya kira-kira semeter dari pesisir pantai.

“Sebagai perbandingan, jarak rumah dan kedai makan saya sejauh lebih 150 meter dari pantai kira-kira 11 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini semalam.

Kata Miasni, ketibaan MTL tidak lama lagi membuatkan dia dan ahli keluarga bimbang ancaman ombak besar meranapkan rumah dan kedai makannya.

Menurutnya, kebimbangan mereka berasas kerana surau yang terletak bersebelahan kedai makannya telah musnah akibat hakisan pantai pada musim tengkujuh tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Roh­mah Abdul Ghani, 61, juga berasa bimbang kerana rumahnya yang terletak hanya beberapa meter dari pantai turut tidak mampu bertahan sekiranya berdepan ombak besar sepanjang MTL kelak.

“Sebelum ini, tiga rumah jiran saya sudah ditenggelami laut di­sebabkan hakisan pantai musim tengkujuh beberapa tahun sebelum ini.

“Hanya tinggal lima rumah termasuk milik keluarga saya dan Miasmi terletak berhampiran pesisir Pantai Tanjung masih bertahan.

“Seriusnya ancaman hakisan ini apabila anak-anak saya boleh memancing ikan di belakang rumah setiap kali pulang bercuti,” katanya.

Sehubungan itu, Rohmah mendesak pihak berwajib agar mengambil langkah segera bagi meminimumkan kesan hakisan musim tengkujuh tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search