Bomba redah banjir 2km selamatkan 7 sekeluarga terperangkap di Klang
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Anggota bomba terpaksa meredah banjir kilat sejauh dua kilometer demi menyelamatkan tujuh sekeluarga termasuk empat kanak-kanak yang terperangkap di Taman Rashna, dekat Klang.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar, berkata tindakan itu diambil berikutan paras air tinggi, manakala jentera bomba tidak dapat masuk ke lokasi.
Terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan bergegas ke lokasi.
"Komander operasi melaporkan kejadian banjir sedalam paras pinggang yang mana jentera bomba tidak dapat masuk ke lokasi kerana paras air tinggi.
"Anggota bomba perlu berjalan sejauh dua kilometer untuk ke lokasi kawasan perumahan yang terbabit banjir.
"Semua mangsa termasuk empat kanak-kanak ditemui dan dibawa ke lokasi selamat," katanya melalui kenyataan.
Beliau berkata, mangsa dihantar ke pondok dataran tinggi yang selamat dan banjir kilat juga menunjukkan trend menurun.
Terdahulu, media melaporkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat kira-kira jam 4 petang tadi.
Berdasarkan perkongsian pengguna aplikasi Threads, banjir kilat dikesan berlaku di sekitar i-City, Seksyen 7; kawasan berdekatan pintu belakang Universiti Teknologi MARA (UiTM); di kawasan lampu isyarat Padang Jawa, Seksyen 16, Shah Alam dan persimpangan lampu isyarat Bukit Raja.
Perkongsian terbaharu di aplikasi berkenaan mendapati beberapa kawasan lain turut dinaiki banjir antaranya Taman Intan dan Taman Rashna, Klang; Sungai Rasau dan Seksyen U12.
Difahamkan, ketika ini keadaan jalan di sekitar kawasan masih sesak dengan kenderaan berikutan air belum surut sepenuhnya.
