Banjir kilat landa Shah Alam, trafik perlahan
- Admin UKK
- Berita
Shah Alam: Beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat kira-kira 4 petang tadi.
Berdasarkan perkongsian pengguna aplikasi Threads, banjir kilat berlaku di sekitar i-City, Seksyen 7; kawasan berdekatan pintu belakang Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan di kawasan lampu isyarat Padang Jawa, Seksyen 16, Shah Alam.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut berkongsi amaran banjir kilat dengan menasihatkan orang ramai supaya berwaspada susulan kenaikan air yang dikesan di kawasan lampu isyarat i-City dan Padang Jawa.
Orang awam khususnya pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan, memandu dengan berhati-hati serta mengelakkan kawasan yang terjejas sekiranya keadaan air semakin meningkat.
Menerusi perkongsian lain di Threads, banjir kilat turut dilaporkan berlaku di kawasan persimpangan lampu isyarat Bukit Raja menghala ke i-City.
Pengguna media sosial turut memaklumkan bahawa kenderaan bergerak perlahan dan meminta pengguna jalan raya untuk menangguhkan perjalanan atau mencari laluan alternatif bagi mengelak tersekat dalam kesesakan.
