Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia bergerak ke Trishuli Bazar untuk misi HADR
- Admin UKK
- Berita
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia bergerak ke Trishuli Bazar untuk misi HADR
KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 kini dalam perjalanan dari Kathmandu menuju Trishuli Bazar di Nepal bagi melaksanakan misi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) di kawasan terjejas.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim, berkata perjalanan ke Trishuli Bazar mengambil lebih kurang tiga jam dengan diiringi tentera Nepal.
Katanya, pasukan berkenaan terdiri 11 pegawai dan anggota serta pergerakan menggunakan sebuah lori seberat 10 tan dan dua kenderaan.
"Perjalanan mengambil masa tiga jam, bergantung keadaan jalan raya dan trafik," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sabtu lalu, 11 pegawai dan anggota SMART berlepas ke Nepal menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Subang, kira-kira jam 9 pagi.
Pasukan turut membawa peralatan mencari dan menyelamat (SAR) bagi menyokong operasi di kawasan terjejas.
Setakat ini, lebih 5,000 individu masih dilaporkan hilang, manakala 1,300 lagi disahkan terkorban dalam bencana berkenaan.
Daripada jumlah yang masih hilang itu, 55 adalah rakyat Malaysia.
