SMART mohon doa misi kemanusiaan di Nepal berjalan lancar
- Admin UKK
- Berita
SUBANG: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berharap misi kemanusiaan yang dilaksanakan di Nepal kali ini berjalan lancar dan mencapai objektif ditetapkan.
Komander SMART, Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB 1) Abdul Manaf Che Isa berkata, seluruh anggota yang terbabit dalam misi berkenaan akan melaksanakan amanah diberikan sebaik tiba di Nepal.
“Pasukan SMART mempunyai misi yang sangat jelas, iaitu misi kemanusiaan. Mohon doakan pasukan kami berjaya dalam misi kali ini,” katanya ketika Majlis Pelepasan Pasukan SMART di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Beliau berkata, pasukan itu dijadual berada di Nepal selama kira-kira tujuh hari dan akan menerima taklimat sebaik tiba sebelum diatur gerak ke lokasi yang ditetapkan.
“Di sana nanti kita akan ditaklimat oleh wakil Malaysia bersama-sama wakil kita untuk kita diatur gerak ke lokasi yang ditetapkan,” jelasnya.
Misi berkenaan turut membabitkan 31 kru TUDM yang mengendalikan pesawat A400M, selain 11 anggota SMART yang diatur gerak bagi melaksanakan tugasan mencari dan menyelamat.
Beliau berkata, pasukan SMART turut membawa peralatan khusus bagi menyokong pelaksanaan misi, termasuk kelengkapan penyelamatan ‘technical rescue’, komunikasi serta peralatan berkaitan perubatan dan kesihatan.
