PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

IPU Serian 495, SFC perhebat pemantauan kawasan hutan berisiko

IPU Serian 495, SFC perhebat pemantauan kawasan hutan berisiko

KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) meningkatkan pemantauan di kawasan hutan berisiko dalam menghadapi cuaca panas, kering serta jerebu kini yang boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan.

Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran, berkata pihaknya sentiasa mengambil serius situasi tersebut kerana ia bukan sahaja meningkatkan risiko kebakaran hutan malah boleh memberi tekanan kepada ekosistem serta hidupan liar.

"Pemantauan ini kita lakukan khususnya di kawasan hutan gambut dan kawasan berhampiran dengan aktiviti manusia. Kita laksanakan rondaan di lapangan serta menggunakan maklumat "hotspot" serta teknologi bagi membantu mengesan tanda-tanda awal kebakaran.

"Secara fokus dan berdasarkan insiden lalu, kita lebih menumpukan pemantauan kepada Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) yang pernah terjejas akibat kebakaran hutan," katanya kepada Bernama.

Antara kawasan menjadi perhatian ialah Santuari Hidupan Liar Sibuti, Rizab Semula Jadi Piasau, Taman Negara Lambir, Taman Negara Niah, Taman Negara Mulu di Miri selain Santuari Hidupan Liar Samunsam, Taman Negara Bako, Taman Negara Kuching Wetland di Kuching serta Rizab Semula Jadi Bukit Lima di Sibu.

Abang Arabi berkata SFC juga bersedia menangani kemungkinan hidupan liar mengalami kecederaan akibat kebakaran hutan atau terjejas kesihatan akibat pendedahan kepada asap dan jerebu melampau.

Beliau berkata persediaan itu merangkumi penyediaan peralatan kecemasan serta tenaga kerja terlatih, termasuk pegawai veterinar SFC bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku kecemasan.

"Kolaborasi dengan pusat veterinar swasta dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga adalah strategi kami dalam menangani isu melibatkan kesihatan hidupan liar," katanya.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan jangka panjang, Abang Arabi berkata perubahan iklim yang menyebabkan keadaan panas dan kering memerlukan SFC meningkatkan tahap kesiapsiagaan secara lebih sistematik.

"Dalam hal ini, kita sentiasa menilai keadaan semasa dan mengemas kini garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

"Matlamat kita bukan hanya bertindak apabila kebakaran berlaku tetapi yang lebih penting ialah mencegah, mengesan lebih awal dan melindungi hutan serta hidupan liar sebelum keadaan menjadi lebih serius," katanya.

Situasi jerebu rentas sempadan berlaku di beberapa kawasan di Sarawak sejak awal Ogos.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat 7 pagi ini kualiti udara di kawasan Serian merekodkan kadar Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap bahaya iaitu 495.

Selain itu, tiga kawasan merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu Kuching (289), Samarahan (265) dan Sri Aman (250). – BERNAMA

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search