Rumah musnah dalam kebakaran di Batang Ai
- Admin UKK
- Berita
ENGKILILI, 21 Julai: Sebuah rumah di Batang Ai Hydro, Jalan Lubuk Antu dekat Engkilili musnah dalam kebakaran tengah hari tadi, namun kesemua empat penghuninya berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.28 tengah hari sebelum sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 72 kilometer dari balai.
βPasukan bomba terpaksa menggunakan bot awam untuk menyeberangi sungai bagi mendapatkan akses ke lokasi kebakaran.
βSetibanya di tempat kejadian pada jam 1.48 tengah hari didapati sebuah rumah berukuran kira-kira 20 kaki x 20 kaki telah musnah terbakar sepenuhnya,β kata kenyataan itu.
Rumah berkenaan didiami sepasang suami isteri bersama dua orang anak, masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan.
Kesemua penghuni dilaporkan selamat dan tiada kecederaan berlaku dalam insiden itu.
Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pemadaman serta pemeriksaan akhir (overhaul) bagi memastikan tiada lagi bara atau punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Operasi berjaya dikawal pada jam 1.49 tengah hari dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4 petang.-TVS
