PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Fenomina El Nino, bekalan sumber air Selangor mampu bertahan 9 bulan

Fenomina El Nino, bekalan sumber air Selangor mampu bertahan 9 bulan

SHAH ALAM: Sumber air Selangor dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan dalam menghadapi Monsun Barat Daya (MBD) serta fenomena El Nino yang dijangka berlarutan hingga September ini.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata kerajaan negeri mengambil maklum bahawa dalam tempoh MBD, kadar taburan hujan lazimnya lebih rendah berbanding bulan-bulan lain danfenomena El Nino berpotensi memberi tekanan kepada sumber air negeri.

Justeru katanya, kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi berkaitan telah menggerakkan pelbagai langkah kesiapsiagaan secara menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan kesinambungan bekalan air sepanjang tempoh cuaca kering ini.

"Sehingga 7 Julai 2026, kapasiti ketujuh-tujuh empangan negeri adalah baik dan melebihi 75 peratus, dengan jangka hayat kapasiti keseluruhan empangan dianggarkan sekitar tiga hingga enam bulan.

"Paras air empangan di Selangor dijangka kekal stabil dalam beberapa bulan akan datang melalui kawalan pelepasan air empangan oleh LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berdasarkan keperluan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA).

"Ini selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Musim Kering Negeri Selangor.

"Pelepasan air empangan dilaksanakan secara 'conjunctive' dengan operasi pengepaman air dari kolam sumber air alternatif mengikut kriteria yang ditetapkan bagi meningkatkan jangka hayat takungan empangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lebih 140 kolam sumber air alternatif dan beberapa bekas lombong di bawah Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) sudah dikenal pasti mengikut lembangan sungai untuk dinaik taraf dengan infrastruktur bekalan air bagi meningkatkan kapasiti simpanan air mentah.

"Secara keseluruhannya, kesediaan sumber air negeri dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan bagi menghadapi Monsun Barat Daya dan fenomena El Niño," katanya.

Mengulas lanjut, Jamaliah berkata, LUAS turut mengambil inisiatif mengoptimumkan penggunaan air bumi sebagai sumber alternatif kepada air terawat, terutama bagi sektor industri melalui pelesenan Abstraksi Sumber Air bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air terawat ketika musim kering.

Jelasnya, setakat ini, tiga telaga air bumi telah dibina di kawasan Hulu Selangor untuk kegunaan khususnya semasa musim kering.

"Operasi pembenihan awan (OPA) di Selangor akan dilaksanakan sekiranya kapasiti air empangan menurun ke paras 50 peratus, dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan MET Malaysia bagi meningkatkan kapasiti empangan.

"Pemantauan kualiti sumber air turut diperkasakan menerusi pemantauan 24 jam tanpa henti di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mengawal serta mengawasi insiden pencemaran sumber air yang berisiko menjejaskan operasi LRA," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search