PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kerajaan perkukuh usaha pelihara kualiti air sungai

Kerajaan perkukuh usaha pelihara kualiti air sungai

PUTRAJAYA, 14 Mei: Kerajaan komited memperkukuh pengurusan dan pemeliharaan kualiti air sungai negara sebagai agenda strategik bagi menjamin kesejahteraan rakyat serta kelangsungan pembangunan ekonomi.

Komitmen tersebut dizahirkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung hari ini.

Mesyuarat itu terdahulu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof.

Menurut kenyataan PETRA, mesyuarat berkenaan bertujuan memperkukuh penyelarasan tindakan pengurusan dan pengawalan kualiti air sungai negara secara lebih proaktif, bersepadu dan berkesan dalam mendepani cabaran global termasuk tekanan terhadap sektor makanan, tenaga dan sumber air.

“Mesyuarat memberi fokus kepada usaha memperkukuh kawalan pencemaran sungai, pengurusan sumber air serta pengukuhan garis panduan dan piawaian teknikal berkaitan perlindungan sumber air negara,” kata kenyataan itu.

Mesyuarat turut meneliti cadangan memasukkan syarat Kajian Hidraulik Endapan Sungai ke dalam Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) bagi memastikan aktiviti pengambilan pasir tidak menjejaskan kestabilan sungai, meningkatkan risiko hakisan tebing atau memberi kesan terhadap kualiti air.

Selain itu, mesyuarat bersetuju terhadap cadangan penyediaan Garis Panduan Guna Semula Air Sisa Pelepasan Penanaman Padi serta penetapan piawaian pelepasan air sisa bagi aktiviti pertanian sebagai langkah memperkukuh kawalan pencemaran secara lebih sistematik dan mampan.

Mesyuarat turut dimaklumkan mengenai Garis Panduan Pengurusan Indeks Pencemaran Industri Penternakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta dapatan Kajian Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) oleh Jabatan Pengairan dan Saliran yang mengenal pasti punca utama kemerosotan kualiti air sungai di lembangan utama negara.

Dalam pada itu, mesyuarat menekankan kepentingan tindakan susulan yang lebih berfokus, pengukuhan penguatkuasaan serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan kelestarian sumber air negara terus terpelihara.

Mesyuarat JKKAS turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri berkaitan pengurusan air, ketua jabatan, agensi teknikal, badan kawal selia air negeri serta wakil kementerian dan agensi berkaitan. – TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search