DBKL tubuh pasukan petugas khas tangani banjir di ibu kota
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR, 11 Mei: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi meneliti kapasiti kolam takungan di sekitar ibu negara sebagai langkah memperkukuh usaha menangani isu banjir kilat ketika hujan lebat luar biasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata beberapa kawasan di Kuala Lumpur (KL) merekodkan taburan hujan melebihi kadar purata biasa selain beberapa faktor lain turut dikenal pasti menyumbang kepada banjir kilat.
Menurutnya, antara punca banjir kilat di KL termasuk sistem perparitan tersumbat, kapasiti kolam takungan yang tidak mencukupi serta saliran yang tidak mampu menampung jumlah air hujan semasa.
“Intensiti hujan sejak beberapa hari kebelakangan ini lebih tinggi daripada biasa. Lazimnya, jumlah taburan hujan sekitar 60 millimeter (ml) namun terdapat kawasan yang merekodkan sehingga 96 ml.
“Hujan lebat juga berlaku hampir setiap petang. Bagaimanapun, kami berusaha menyalurkan maklumat kepada orang ramai tiga kali sehari mengenai jangkaan waktu hujan bagi setiap kawasan di KL,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Perasmian Transformasi Penggunaan Kotak Ikan Berinsulansi (KIB) di Kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Sementara itu, Hannah berkata pihaknya mengambil maklum kejadian banjir kilat di beberapa kawasan sekitar ibu kota dan DBKL sentiasa komited menyalurkan perkembangan terkini kepada semua pihak berkaitan.
“Kadangkala kapasiti saliran tidak mencukupi, jadi terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan banjir kilat berlaku. Setiap kali kejadian berlaku, DBKL akan menyediakan laporan harian dan Datuk Bandar turut memberi perkembangan terkini kepada semua Ahli Parlimen,” katanya lagi.
Tambahnya, satu sesi sidang media juga akan dilakukan bagi memperincikan langkah dan intervensi yang akan dilakukan oleh pihaknya bagi menangani isu ini. -TVS
