Musim Monsun Barat Daya dijangka bermula Khamis ini hingga September
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 14 Mei dan berterusan sehingga September ini, dengan angin mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata sepanjang tempoh itu, kadar kelembapan udara yang rendah lazimnya akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.
"Bagaimanapun, hujan lebat, angin kencang serta ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah terutama pada awal pagi berikutan kehadiran fenomena garis badai.
"Ia merupakan barisan ribut petir yang terbentuk di perairan Selat Melaka dan timur Laut Cina Selatan sebelum bergerak ke kawasan daratan akibat daripada penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd Hisham berkata, ketika kemuncak monsun berkenaan iaitu pada Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan juga boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka bagi mengurangkan risiko pencemaran jerebu, selain menggalakkan penggunaan air secara berhemat sepanjang musim berkenaan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi jabatan atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638.
