13 jam bertarung memadam kebakaran
- Admin UKK
- Berita
KUALA TERENGGANU: Pengalaman memadam kebakaran hutan di Kuala Abang, Dungun, dekat sini disifatkan sebagai antara tugas paling perit dan mencabar buat salah seorang anggota bomba terlibat, Mohd. Sharizan Muhammad, 41.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Al Muktafil Billah Shah itu berkata, dia bersama rakan setugas terpaksa berdepan bahang panas dan kepulan asap tebal ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di kawasan tersebut.
Katanya, sepanjang operasi, dia bertugas selama tiga hari berturut-turut dengan tempoh sehingga 13 jam sehari iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 9 malam.
“Keadaan di kawasan tanah gambut ini sangat mencabar kerana api sukar dipadam sepenuhnya walaupun kami bertungkus-lumus berusaha. Bahang panas dan asap yang tebal tidak mematahkan semangat kami untuk terus memadam kebakaran,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Menurut Mohd. Sharizan, kebakaran tanah gambut memerlukan kaedah pemadaman berbeza berbanding kebakaran biasa kerana api boleh merebak di bawah permukaan tanah.
Katanya, kedah yang digunakan adalah dengan membina kolam kecil bagi menakung air kerana tanah gambut menyimpan haba di bawah permukaan.
“Walaupun api di permukaan dipadam, ia boleh kembali marak menyebabkan proses pemadaman mengambil masa yang panjang,” katanya.
Dia yang telah 18 tahun berkhidmat turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan penduduk setempat yang membantu sepanjang operasi tersebut.
Katanya, penduduk sangat prihatin apabila menyediakan makanan dan minuman kepada anggota bomba malah ada yang sukarela turun padang membantu.
“Kami turut menunjukkan kaedah pemadaman supaya mereka memahami usaha yang dilakukan anggota bomba,” katanya.
Bagaimanapun, dia mengakui masih tidak puas hati kerana kebakaran tidak dapat dipadam sepenuhnya walaupun pelbagai usaha dilakukan.
“Kumpulan kami dapat memadam kebakaran di kawasan kira-kira lima hektar manakala selebihnya ditangani oleh pasukan lain,” katanya.
Kebakaran hutan paya gambut di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun yang bermula sejak 23 April lalu dilaporkan melibatkan kawasan seluas 34 hektar. – UTUSAN
