Tanah runtuh Bukit Lanjan: Kejadian pertama dalam 30 tahun, penduduk mula bimbang
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Penduduk sekitar Kampung Bukit Lanjan, di sini melahirkan rasa bimbang dan risau dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran kediaman mereka semalam.
Ketika ditemui BH hari ini, rata-rata mereka menyatakan kejadian berkenaan pertama kali berlaku di kawasan itu, terutama sejak sebahagian kawasan hutan di sana berubah menjadi kebun.
Penduduk asal yang hanya mahu dikenali Ahmad, berkata kawasan terbabit dulunya hutan, namun sejak kira-kira lima tahun lalu sebahagian kawasan dibersihkan dan dimajukan menjadi kebun durian.
"Ini pertama kali berlaku (tanah runtuh). Memang merisaukan penduduk di sini. Dulu pernah jugalah banjir, tetapi lama dulu... tanah runtuh ini pertama kali," katanya yang mengusahakan gerai makan di pintu masuk kampung berkenaan.
Terdahulu, tular mengenai foto memaparkan kejadian tanah runtuh berlaku di Bukit Lanjan susulan hujan lebat yang melanda semalam.
Menurut Ahmad lagi, sejak insiden semalam dua pekerja di kebun durian dilihat membersihkan longkang di bahagian bawah, namun tidak pasti apa tindakan susulan akan dilakukan untuk mengelak kejadian berulang.
"Saya difahamkan kebun durian itu milik sebuah syarikat di Petaling Jaya. Waktu mereka usahakan tanah ini dahulu, mereka ada maklum kepada penduduk untuk membuat longkang, tapi semalam tanah runtuh masih berlaku," katanya.
Bagi pekerja swasta, Mohd Haziq Roseli bin Mohd Asri, 21, kediamannya antara yang dimasuki air susulan hujan lebat semalam dengan ketika kejadian dia sedang bekerja di Pulau Pinang.
"Isteri saya hubungi sambil menangis, maklumkan rumah kami dimasuki air. Saya pula bekerja sebagai pemandu lori dan memang jarang ada di rumah.
"Bila dimaklumkan isteri semalam, saya jadi bimbang dan risau dengan apa yang berlaku. Bila hari ini pulang ke rumah, saya nampak ada tanah runtuh di sekitar kawasan bukit berhampiran rumah kami," katanya.
Lebih membimbangkan, katanya keadaan isterinya yang kini sarat mengandung enam bulan anak pertama.
"Dia seorang diri di rumah. Jadi bila berlaku seperti semalam, saya boleh jadi cemas. Cuma apa yang kami harap kejadian ini tak berulang dan pihak berkuasa dapat tangani supaya tanah runtuh tak jadi lagi," katanya.
Seorang lagi penduduk, Nor Saharuddin Yahya, 73, berkata, ketika kejadian tanah runtuh berlaku, dia ada rumahnya bersama isteri.
"Kami hanya dimaklumkan petang semalam selepas hujan reda dan dimaklumkan jiran-jiran ada ranah runtuh berlaku. Mujur rumah kami tak dimasuki air yang melimpah dari sekitar kawasan tanah runtuh itu.
"Ini pertama kali berlaku sepanjang saya tinggal di sini sejak lebih 30 tahun lalu. Rasa risau itu sudah pasti ada. Apatah lagi kami sudah berusia, walaupun ada anak-anak semua tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor saja," katanya.
Sementara itu, tinjauan BH mendapati kawasan kebun berkenaan ditanam dengan pokok durian dan terdapat saluran air dipasang dari bahagian atas bukit untuk mengalirkan air ke bawah.
Kerja pembersihan di sekitar jalan terjejas semalam sudah dilakukan, dengan kawasan kebun ditutup sementara daripada dihampiri orang awam.
Tiada kerosakan infrastruktur seperti jalan dan longkang dikesan akibat tanah runtuh, selain tinjauan mendapati tiada rumah penduduk mengalami kerosakan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud siang tadi juga dilapor mengadakan lawatan ke tapak tanah runtuh berkenaan bagi meninjau dan melihat sendiri runtuhan di sana.
