Banjir di Shah Alam, penduduk harapkan penyelesaian
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Penduduk dan peniaga di sekitar Seksyen 13, Shah Alam berdepan kerugian serta gangguan rutin harian apabila kawasan itu kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat.
Bagi Mukhriz Mat Husin, 31, hujan lebat sekitar satu hingga dua jam sudah memadai untuk menyebabkan air naik dengan cepat, malah keadaan semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Meskipun hujan berhenti, katanya banjir tidak terus surut sebaliknya mengambil masa yang lama untuk reda.
Menurutnya walaupun kediamannya di pangsapuri tidak terjejas, kenderaan miliknya pernah rosak teruk dalam kejadian banjir besar sekitar 2021 sehingga kerugian lebih RM10,000.
"Ketika itu saya bekerja dan tidak sempat selamatkan kereta. Air naik sangat cepat dan ada kawasan dinaiki banjir sehingga paras leher, dengan tingkat bawah bangunan juga tenggelam," katanya.
Tambah Mukhriz, masalah banjir di kawasan itu bukan baharu, sebaliknya berlaku hampir setiap tahun dengan sistem perparitan tidak efisyen antara punca, selain pembangunan pesat di sekitar kawasan berkenaan.
"Perparitan tidak mampu tampung air, tetapi pembangunan masih diteruskan. Ini menyebabkan keadaan semakin teruk," katanya kepada BH.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita apabila nasihat baginda mengenai isu banjir kepada kerajaan negeri seperti mencurahkan air ke daun keladi.
Sultan Sharafuddin bertitah, sudah berpuluh kali baginda menasihatkan pihak kerajaan negeri agar menyelesaikan isu banjir dengan kadar segera.
Bagi peniaga di kawasan Stadium Shah Alam, Mohd Ali Jainneh, 36, rasa bimbang sentiasa ada setiap kali hujan lebat melanda terutama dengan risiko banjir yang mungkin berlaku.
Menurutnya, banjir lazimnya menjejaskan laluan utama ke kawasan perniagaan dan tapak gerai berhampiran stadium, dengan paras air boleh mencecah betis hingga lutut, manakala di laluan tertentu lebih tinggi sehingga menyukarkan kenderaan melalui kawasan tersebut.
Namun begitu, perniagaan masih diteruskan walaupun banjir, tetapi mereka kekurangan pelanggan kerana kawasan untuk akses ke gerai dinaiki air.
Peniaga terima kesan
"Kalau hujan lebat sahaja, kami akan risau. Kadang-kadang tidak sempat kemas barang, air sudah naik," katanya.
Menurutnya situasi itu menelan kerugian besar kerana makanan siap dimasak dari dapur pusat tidak dapat dijual dan terpaksa dibuang.
"Jualan semalam sebagai contoh merosot teruk apabila hanya kurang daripada 20 bungkus berjaya dijual berbanding kebiasaan iaitu 300 hingga 500 hidangan," katanya kepada BH.
Ali berkata dia percaya masalah banjir berpunca sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik serta kemungkinan saliran tersumbat, selain faktor pembangunan di kawasan sekitar yang menjejaskan aliran air.
"Saya harap pihak berkuasa dapat menambah baik sistem perparitan dan menyediakan lokasi perniagaan yang lebih sesuai pada masa hadapan, khususnya selepas projek pembangunan stadium siap, bagi memastikan kelangsungan peniaga kecil terus terjamin," katanya.
