PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

NGO: Pembangunan cerun punca banjir lumpur Cameron Highlands

NGO: Pembangunan cerun punca banjir lumpur Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) mendakwa pembangunan di kawasan cerun menjadi punca banjir lumpur yang berlaku di Habu Heights di sini kelmarin susulan hujan lebat.

Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, kejadian itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai kelulusan pembangunan, khususnya pembukaan tanah pertanian di kawasan cerun yang sangat curam di sini.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak sewajarnya meluluskan aktiviti pembukaan tanah di kawasan berisiko tinggi, termasuk cerun yang melebihi had selamat yang boleh menyebabkan kejadian banjir lumpur.

“Reach berpendapat bahawa pihak berkuasa perlu lebih tegas dan bertanggungjawab dalam proses kelulusan.

“Apabila insiden seperti ini berlaku, tiada pihak yang tampil bertanggungjawab, keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, Cameron Highlands merupakan kawasan sensitif alam sekitar, dengan kebanyakan cerun diklasifikasikan sebagai Kelas 3 dan Kelas 4 yang tidak boleh lakukan apa-apa aktiviti pertanian atau pembangunan.

Katanya, justeru Reach menegaskan bahawa setiap permohonan pembangunan harus dinilai secara teliti melalui lawatan tapak oleh agensi teknikal.

“Reach menyeru agar semua pihak berkaitan mengambil langkah segera untuk memperketatkan prosedur kelulusan serta memastikan pematuhan yang lebih ketat demi melindungi alam sekitar dan keselamatan komuniti setempat,” katanya.

Beberapa kawasan sekitar Ringlet dan Habu di sini, dilanda banjir lumpur susulan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan kelmarin.

Kejadian menyebabkan air bercampur lumpur melimpah ke atas jalan raya sehingga menjejaskan pergerakan kenderaan di beberapa laluan utama.

Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan aliran air berlumpur deras memasuki permukaan jalan serta kawasan sekitar, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pengguna jalan raya. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search