PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pulau Pinang perhebat kesiapsiagaan hadapi ancaman bencana bahan berbahaya

Pulau Pinang perhebat kesiapsiagaan hadapi ancaman bencana bahan berbahaya

BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang kini sedang memperhebatkan kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi ancaman bencana bahan berbahaya yang boleh mengancam nyawa dan berisiko melumpuhkan ekonomi negeri.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, ancaman seperti letupan dan kebocoran bahan berbahaya itu bukan sekadar gambaran di atas kertas, tetapi ia boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Katanya, ancaman berisiko seperti bencana Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Letupan (CBRNE) perlu dipandang serius kerana ia boleh berpunca daripada kemalangan industri, kecuaian manusia atau unsur sabotaj.

“Justeru, ancaman ini bukan teori semata-mata. Ia realiti yang boleh berlaku tanpa kita duga,” katanya ketika merasmikan Program Latihan Simulasi Bencana CBRNE Bahan Berbahaya (Hazmat) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Jaya, di sini hari ini.

Seramai 256 petugas daripada 34 agensi terlibat bersama 260 aset dalam simulasi tersebut, termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri serta beberapa agensi teknikal lain terlibat dalam program tersebut.

Antara aspek yang diberi penekanan atau difokuskan dalam program berkenaan termasuk senario kebocoran paip gas bagi menguji tahap kesiapsiagaan termasuk aspek pengesanan awal, penilaian risiko, tindak balas kecemasan serta pengurusan mangsa.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Long berkata, simulasi tersebut merupakan program tahunan sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan kejadian bencana.

Katanya, latihan seperti itu penting kerana situasi sebenar mungkin berbeza daripada simulasi. Justeru, setiap jabatan perlu memberi perhatian kepada aspek kesihatan, keselamatan dan kesiapsiagaan.

“Insiden berkaitan CBRNE antara yang paling serius dan pernah mencetuskan suasana cemas seperti kejadian di Kuala Lumpur pada hari pertama Aidilfitri tahun lalu.

“Di Pulau Pinang sendiri, terdapat paip gas yang menghala ke kawasan industri Perai dan melalui kawasan perumahan padat. Oleh itu, keperluan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan itu dianggap amat penting,” katanya.

Tambah beliau, latihan simulasi diadakan setiap tahun dengan fokus berbeza, dengan tahun lalu melibatkan senario runtuhan bangunan, manakala tahun ini memberi tumpuan kepada CBRNE. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search