MPBN perkukuh pengurusan bencana negara
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Kelulusan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) mampu memperkukuhkan tadbir urus pengurusan bencana dan mengurangkan risiko bencana negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan MPBN merupakan anjakan besar daripada kerangka terdahulu yang lebih bersifat teknikal dan berasingan kepada sistem lebih menyeluruh, bersepadu dan dipacu terus oleh kepimpinan tertinggi negara.
“Negara tidak boleh bergantung kepada pendekatan lama yang bersifat reaktif dan berasingan. Kita memerlukan satu struktur yang membolehkan keputusan strategik dibuat dengan lebih pantas, penyelarasan dilaksanakan dengan lebih berkesan, dan tindakan di lapangan digerakkan tanpa kelompongan antara Persekutuan dengan negeri.
“MPBN akan menghimpunkan Menteri-Menteri Persekutuan berkaitan, Menteri Besar, Ketua Menteri dan pengurusan tertinggi kerajaan dalam satu platform tertinggi negara bagi pengurusan bencana.
“Melalui mekanisme ini, keputusan dapat dipercepatkan, penyelarasan diperkemas dan pelaksanaan di lapangan dapat digerakkan dengan lebih tersusun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penubuhan MPBN juga mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk beralih daripada pendekatan tindak balas selepas bencana kepada pendekatan yang memberi penekanan lebih besar kepada kesiapsiagaan, pencegahan dan pengurangan risiko bencana.
“Kita bukan sahaja mahu bertindak apabila musibah berlaku, tetapi memastikan negara lebih awal bersedia, risiko dapat diminimumkan, dan impaknya terhadap nyawa rakyat, harta benda serta ekonomi negara dapat dikurangkan sebaik mungkin.
“Pada masa yang sama, penstrukturan baharu ini turut memperkukuh peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai agensi peneraju utama, termasuk daripada segi kapasiti, kepakaran dan keupayaan operasi, agar keseluruhan sistem ini dapat berfungsi secara efektif di semua peringkat,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, usaha memperkukuh penyelarasan pengurusan bencana di peringkat negeri juga amat penting.
Katanya, keupayaan bertindak balas secara pantas dan tersusun di peringkat negeri serta daerah merupakan antara penentu utama keberkesanan pengurusan bencana.
“Hubungan kerja yang lebih rapat, jelas dan berfokus antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri perlu terus diperkasa agar keseluruhan rantaian pengurusan bencana negara benar-benar bergerak sebagai satu pasukan.
“Insya-Allah, langkah ini akan meletakkan asas yang lebih kukuh untuk Malaysia menghadapi cabaran bencana masa hadapan dengan tadbir urus yang lebih baik, penyelarasan yang lebih cekap, dan tindakan yang lebih berkesan demi melindungi rakyat serta kepentingan negara,” katanya.-UTUSAN
