PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Cuaca panas: Kawasan rekreasi Yan, Merbok sepi

Cuaca panas: Kawasan rekreasi Yan, Merbok sepi

YAN: Cuaca panas melampau dan kemarau sejak dua bulan lalu menyebabkan beberapa kawasan peranginan di Yan dan Merbok, dekat sini kering dan kurang dikunjungi pengunjung.

Keadaan itu menyebabkan perniagaan hiliran di kawasan rekreasi seperti di Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar di sini serta Hutan Lipur Tupah di Merbok turut terjejas. 

Seorang peniaga gerai makan di Titi Hayun, Syaripah Omar, 48, berkata, perniagaan diusahanya lebih dua tahun di situ mengalami kemerosotan ekoran kurang pengunjung.

“Keadaan ini berterusan sejak lebih dua bulan lalu apabila aliran air hanya terdapat di kawasan tertentu manakala kawasan lain kering kontang.

“Ini menyebabkan pengunjung tidak bersantai untuk mandi-manda serta menjamu selera di gerai kami yang secara langsung menjejaskan pendapatan harian,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagi peniaga nira nipah, Norhayati Musa, 41, berkata, sebelum ini permintaan terhadap air tersebut tinggi apabila kawasan rekreasi dipenuhi pengunjung terutamanya ketika hujung minggu.

“Ketiadaan air membuatkan pengunjung terutamanya yang membawa keluarga untuk mandi-manda terpaksa berpatah balik dan tidak beriadah sambil makan dan minum di sini.

“Macam cuti sekolah sempena hari raya baru-baru ini pun apabila kekurangan pengunjung, perniagaan nira saya tidak laku dan menjejaskan mata pencarian,” katanya.

Seorang peniaga makanan ringan dan ais krim di Hutan Lipur Tupah, Mohd. Noor Ismail, 59, berkata, perniagaan yang dijalankan sejak lima tahun lalu berdepan kemerosotan ketara kerana ketiadaan air yang membolehkan pengunjung beriadah di situ.

“Teruklah sikit perniagaan sekarang ini berbanding beberapa bulan lalu ekoran panas melampau yang menyebabkan air di Sungai Tupah menjadi kering.

“Sebelum ini keadaan cuaca tidak sepanas ini yang membolehkan ramai pengunjung berendam dan mandi-manda bersama keluarga, tetapi ditambah dengan kemarau telah menyebabkan air sungai semakin hari semakin kering,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung di Titi Hayun, Siti Sabariah Omar, 42, berkata, dia terkejut apabila mendapati kawasan rekreasi itu yang dulunya menjadi tempat tumpuan kini lengang.

“Macam mana nak bawa keluarga berkelah di sini kerana tiada air dan kalau ada di dalam beberapa lopak pun airnya berbau busuk,” katanya. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search