Paras Air Empangan Utama Makin Susut, NADMA Lancar Operasi ‘Bom Awan’ Di 4 Negeri Mulai 6 April Ini
- Admin UKK
- Berita
Cuaca panas yang semakin memuncak kini mula memberi kesan serius terhadap paras air empangan di beberapa negeri utama
Susulan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bakal melaksanakan empat siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) sebagai langkah kecemasan bagi menambah bekalan air.
Menurut laporan BERNAMA, operasi tersebut dijadual berlangsung dari 6 hingga 9 April melibatkan negeri Perak, Kedah, Perlis dan Johor yang dikenal pasti mengalami penurunan takungan air yang ketara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan memandang serius fenomena cuaca panas susulan peralihan monsun yang bermula 29 Mac lalu dan dijangka berterusan sehingga Mei ini.
"Untuk itu, NADMA akan menyelaras dan melaksanakan empat siri OPA di Perak, Kedah, Perlis dan Johor pada 6 hingga 9 April ini.
"Tindakan segera ini adalah sebagai langkah proaktif bagi menangani keadaan kadar takungan air empangan di negeri itu yang semakin menurun akibat cuaca panas," katanya.
Sebanyak 11 empangan utama terlibat dalam operasi itu
Ia termasuk Empangan Timah Tasoh (Perlis), Empangan Ahning, Pedu dan Muda (Kedah), Empangan Temenggor dan Bukit Merah (Perak) serta lima empangan di Johor seperti Lebam dan Gunung Pulai.
OPA ini akan dijalankan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menyediakan pesawat C130 Hercules, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bertanggungjawab menyelaras aspek teknikal serta saintifik pembenihan awan.
"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), saya menyeru supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memastikan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) diaktifkan dan diperkasa.
"Ini bagi memastikan keputusan yang hendak diambil adalah merujuk kepada maklumat teknikal dan berasaskan data (data-driven)," katanya.
Menurut beliau, semua agensi berkaitan perlu menyalurkan maklumat penting seperti aras empangan, bekalan air mentah serta tahap kelembapan tanah ke SDCC untuk dianalisis secara berpusat.
"Dalam kita memperkukuh pendekatan teknikal ini, saya ingin menegaskan bahawa tindak balas kerajaan tidak boleh bersifat mekanikal semata-mata.
"Pendekatan kemanusiaan mesti menjadi teras utama. Kita perlu memastikan setiap intervensi benar-benar sampai kepada mereka yang paling terkesan khususnya golongan berpendapatan rendah, warga emas, petani kecil serta komuniti yang bergantung sepenuhnya kepada sumber air tempatan," katanya.
Dalam masa sama, kerajaan turut bersedia melaksanakan langkah sokongan seperti penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas.
