PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pembenihan awan akan dilaksana, tampung kekurangan paras air empangan di 3 negeri

Pembenihan awan akan dilaksana, tampung kekurangan paras air empangan di 3 negeri

KUALA NERUS: Beberapa empangan utama di Johor, Kedah dan Perak kini berada pada paras amaran, susulan cuaca panas berpanjangan dan kekurangan taburan hujan.

Ia mendorong kerajaan melaksanakan operasi pembenihan awan bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi dan tidak terjejas.

 

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, langkah intervensi itu akan dilaksanakan secara berperingkat selama beberapa hari bermula 11 hingga 15 Februari.

Ia akan melibatkan beberapa empangan kritikal di tiga negeri terbabit. Jadual operasi pembenihan awan bagi Johor akan dijalankan pada 11 dan 12 Februari, membabitkan Empangan Upper Layang, Empangan Pulai 1 dan Empangan Machap.

Seterusnya, pada 13 dan 14 Februari, operasi diperluaskan ke Kedah dan Perak, merangkumi Empangan Pedu, Empangan Muda, Empangan Ahning serta Empangan Bukit Merah.

“Operasi terakhir dijadualkan pada 15 Februari, sekali lagi di Johor, melibatkan tiga empangan sama iaitu Upper Layang, Pulai 1 dan Machap,”katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan Pemukiman KKDW dan Pemukiman Syarikat Milikan Agensi KKDW 2026 di Kuala Nerus.

Pembenihan awan dilaksanakan sebagai langkah segera untuk meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan air empangan, bagi menambah paras simpanan air mentah, sekali gus mengelakkan gangguan bekalan kepada pengguna domestik, pertanian dan industri.

Keadaan cuaca kering yang berpanjangan sebelum ini, menyebabkan paras air beberapa empangan menunjukkan trend penurunan sehingga menghampiri tahap kritikal.

Terbaharu, media melaporkan bekalan air di beberapa kawasan di Johor kian terjejas, susulan paras Sungai Benut yang mencapai tahap minimum, manakala Empangan Machap berada di bawah paras operasi selamat, menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam hanya mampu beroperasi sekitar 34 peratus kapasiti.

 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search