Lebih 1,500 masih terjejas banjir di Sarawak
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Seramai 1,553 mangsa banjir daripada 503 keluarga masih berlindung di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak setakat jam 7 pagi ini.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 28 PPS berkenaan membabitkan tiga daerah iaitu Serian, Bintulu dan Sibu.
Di Serian, sejumlah 24 PPS beroperasi, selain tiga di Bintulu dan satu di Sibu.
Daripada segi taburan pecahan mangsa, 1,000 mangsa terdiri dari lelaki dan wanita dewasa termasuk 216 warga emas, sementara 503 lagi kanak-kanak dan 50 bayi.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Selangor (Klang dan Kuala Langat), Sarawak Limbang (Lawas), Sabah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu) dan Wilayah Persekutuan Labuan sehingga jam 9 pagi ini.
Menurut kenyataan MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.
