Banjir di Sarawak: 9 PPS di Sarawak masih aktif tempatkan 1,630 mangsa, satu ditutup
- Admin UKK
- Berita
KUCHING: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Sarawak ditutup petang ini, menjadikan PPS yang masih aktif di negeri itu kini menjadi sembilan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan PPS aktif membabitkan kawasan Serian, Sibu, Bintulu dan Sebauh.
Menurut jawatankuasa itu, setakat jam 4 petang ini juga jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,630 orang daripada 506 keluarga, berbanding 1,773 mangsa daripada 560 keluarga pagi tadi.
"Antara PPS menempatkan mangsa paling ramai ialah PPS Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh di Serian dengan 448 mangsa daripada 131 keluarga, Dewan Masyarakat Serian (311 mangsa daripada 91 keluarga) dan PPS Dewan Suarah Bintulu (262 mangsa daripada 84 keluarga).
"Selain itu, PPS Dewan Sri Kemena Sekolah Menengah Kebangsaan Sebauh menempatkan 189 mangsa daripada 57 keluarga," menurut makluman itu.
Bencana banjir di Sarawak kali ini bermula pada 31 Dis tahun lepas, apabila beberapa kawasan di sekitar bandar raya Kuching dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan. – BERNAMA
