PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Teknologi satelit bantu pantau risiko bencana

Teknologi satelit bantu pantau risiko bencana

CUACA kini bukan lagi isu sampingan, sebaliknya menjadi punca utama kepada pelbagai bencana di Malaysia.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, corak hujan semakin tidak menentu dengan taburan tinggi dijangka berlaku lebih kerap sehingga mencetuskan banjir, banjir kilat dan tanah runtuh.

Perubahan itu memberi tekanan kepada muka bumi semula jadi, sistem perparitan, infrastruktur dan komuniti, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

Menurut Pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Ir. Ts. Dr. Kamarul Hawari Ghazali, hubungan antara hujan ekstrem dan kejadian bencana semakin jelas apabila berlaku banjir besar pada Disember 2021 di Lembah Klang.

Ujarnya, pihak berkuasa merekodkan lebih 300 milimeter hujan dalam tempoh 24 jam iaitu hampir menyamai purata hujan bulanan.

“Sistem perparitan gagal berfungsi, sungai melimpah dan tanah runtuh berlaku di beberapa lokasi berisiko.

“Fenomena ini terus berulang di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. Banjir kilat kini berlaku apabila hujan lebat singkat melebihi kapasiti sistem perparitan bandar, walaupun tiada hujan berpanjangan,” katanya ketika dihubungi K-Tekno.

Tambahnya, bagi tanah runtuh, hujan berpanjangan menyebabkan tanah tepu dan melemahkan kestabilan cerun.

Contohnya, tanah runtuh di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau, Pulau Pinang dan runtuhan cerun di Taman United, Seputeh, Selangor pada tahun 2024 yang menunjukkan bagaimana hujan berterusan mencetuskan kegagalan cerun, sekali gus memberi impak kepada kehidupan harian.

Semua kejadian itu menunjukkan bahawa banjir, banjir kilat dan tanah runtuh berpunca daripada sistem cuaca, tetapi kesannya berbeza mengikut keadaan muka bumi, corak guna tanah dan keupayaan sistem perparitan setempat.

Malangnya, pendekatan sedia ada masih terlalu bergantung kepada hujan dan paras air tanpa pemantauan berterusan terhadap kelembapan tanah, perubahan bentuk tanah dan pergerakan cerun.

Akibatnya, amaran bencana sering dikeluarkan selepas ambang tertentu dilepasi, sedangkan kegagalan cerun biasanya berlaku secara beransur-ansur akibat kesan kumulatif hujan berulang.

Kongsinya lagi, dalam konteks ini, teknologi satelit menawarkan penyelesaian penting kepada petugas yang memantau atau meramal cuaca.

Ujarnya, sistem radar satelit terutama radar apertur sintetik (SAR) mampu mengesan perubahan permukaan dan pergerakan tanah, walaupun dalam keadaan hujan lebat dan litupan awan tebal.

“Satelit pemerhatian bumi pula memberikan maklumat berterusan mengenai taburan hujan, perubahan guna tanah, vegetasi dan kawasan yang dilitupi air yang mampu menyokong penilaian risiko banjir dan tanah runtuh pada skala luas.

“Namun bagi pemantauan berkesan, gabungan data satelit dan pengukuran setempat adalah kritikal.

“Sensor berasaskan Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS), tolok hujan dan Stesen Cuaca Automatik (AWS) membolehkan pemantauan cerun serta sistem saliran secara tepat,” ujarnya.

Katanya lagi, integrasi teknologi itu membolehkan pendekatan berlapis, di mana satelit berfungsi sebagai lapisan awal mengenal pasti kawasan berisiko, manakala sensor setempat memberikan pengesahan dan pemantauan terperinci.

Dengan menggabungkan data daripada pelbagai sumber, pihak berkuasa dapat memahami tindak balas cerun dan sistem saliran terhadap hujan, sama ada bersifat sementara atau menunjukkan ketidakstabilan sebenar.

Selain itu, kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting dalam menguruskan data besar yang dihasilkan oleh sistem pemantauan moden.

AI mampu menganalisis intensiti hujan, kelembapan tanah, pergerakan cerun dan aliran air secara serentak.

“Untuk banjir kilat, teknik nowcasting berasaskan AI boleh menilai corak hujan masa nyata dan meramalkan hujan yang mungkin melebihi kapasiti perparitan dalam beberapa jam. Bagi banjir sungai dan tanah runtuh, model ramalan AI menilai trend hujan terkumpul serta pergerakan tanah untuk anggaran risiko dalam beberapa hari atau minggu,” jelasnya.

Ujarnya lagi, pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa sistem pemantauan bersepadu bukan saja penting untuk amaran bencana, malah sebagai perkhidmatan sokongan kepada sektor pengangkutan, pertanian, industri dan utiliti.

Misalnya di China, pelaburan besar dalam platform bersepadu menggabungkan AWS, radar, satelit, pemantauan GNSS dan analitik AI membekalkan data berterusan untuk perancangan serta operasi harian.

“Bagi Malaysia, peningkatan banjir, banjir kilat dan tanah runtuh menuntut pendekatan pemantauan bersepadu yang lebih cepat. Sistem pemantauan perlu menjadi infrastruktur strategik nasional, menyatukan data hujan, cuaca, satelit, pergerakan tanah dan ramalan AI,” katanya.

Pendekatan tersebut membolehkan amaran awal lebih tepat, keputusan lebih baik dan keselamatan rakyat dipertingkatkan.

Cuaca mungkin di luar kawalan manusia, namun cara negara memantau dan bertindak balas terhadap risiko adalah pilihan strategik yang mesti dibuat sekarang untuk menjamin ekonomi dan keselamatan berdaya tahan.

 

 

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search