PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Mangsa tanah runtuh buntu, rumah mungkin roboh jika hujan berterusan

Mangsa tanah runtuh buntu, rumah mungkin roboh jika hujan berterusan

PEKAN: "Pergerakan tanah masih berlaku terutama apabila hujan dan tidak mustahil rumah saya akan terus ranap menyembah bumi pada bila-bila masa saja," kata warga emas, Badariah Abd Wahab, 73.

Mangsa tanah runtuh itu menetap di Kampung Kota Perdana, Paloh Hinai, dekat sini berkata, kejadian tanah runtuh yang menyebabkan bilik mandi rumahnya runtuh pada 17 Disember lalu.

Katanya, kejadian tanah runtuh itu kali ketiga dialaminya yang mana sebelum ini pernah berlaku pada 2018 dan 2022, namun tidak menyebabkan kerosakan pada binaan rumahnya.

 

Tembok simen bagi menghalang kejadian tanah runtuh dibahagian belakang rumahnya dibina pada 2018 dan 2022 dengan kos kira-kira RM50,000, namun usaha berkenaan tidak berhasil apabila episod tanah runtuh dan hakisan tanah berulang pertengahan bulan lalu selepas hujan lebat.

"Kejadian baru-baru ini begitu serius apabila empat rumah sebaris dengan rumah saya turut terjejas, malah bahagian tandas dan dapur kini musnah sepenuhnya selepas tanah cerun bukit runtuh apabila hujan berterusan lima hari.

"Rumah kami kini tidak lagi selamat untuk diduduki, kami diarahkan berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya, ditemui di sini hari ini.

Dia yang tinggal bersama suami, Ramli Isa, 82, berkata dia dan tiga lagi mangsa tanah runtuh kini terpaksa menumpang sementara di inap desa milik penduduk yang disediakan oleh pihak Masjid Kampung Kota Perdana untuk tempoh sebulan.

"Saya buntu memikirkan nasib kami selepas ini, di mana akan menetap kerana untuk membaiki kerosakan rumah yang berlaku memerlukan perbelanjaan besar sedangkan kami tidak mampu.

"Saya merayu pihak kerajaan dapat membantu kami menyediakan rumah, tidak lama lagi kita akan menyambut Ramadan dan Aidilfitri," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Sabariah Karia, 74, menggesa supaya pembinaan tembok dan cerucuk dilakukan bagi menghalang kejadian tanah runtuh.

"Saya begitu sedih apabila melihat kerosakan yang berlaku pada rumah saya, bahagian dapur dan bilik air runtuh sepenuhnya apabila kejadian tanah runtuh berlaku ketika hujan lebat berterusan bulan lalu.

"Dalam kejadian itu saya dan suami tidak berada dalam rumah, saya bersyukur sangat.

"Hujan lebat berterusan selama lima hari selain kedudukan rumah di kawasan cerun bukit menjadi faktor tanah runtuh berlaku

"Rasa begitu berat ujian yang kami terima kali ini, terlalu sukar terutama apabila kini terpaksa menumpang di inap desa selama sebulan. Selepas ini, ke mana arah untuk kami berteduh," katanya yang pertama kali ditimpa kejadian seumpama itu.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search