PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Hat Yai selepas banjir kini sunyi, banyak premis perniagaan dan rumah dipenuhi lumpur

Hat Yai selepas banjir kini sunyi, banyak premis perniagaan dan rumah dipenuhi lumpur

Bukit Kayu Hitam: "Keadaan di Bandar Hat Yai, Thailand kini sunyi, malah banyak premis perniagaan masih ditutup, manakala rumah penduduk masih dipenuhi lumpur, " kata Ahmad Qushairy Ahmad Zaini, 38.

Ahmad Qushairy adalah rakyat Malaysia yang menetap di Hat Yai berkata, dia yang baru pulang ke rumahnya di sana semalam terkejut melihat perubahan yang berlaku akibat banjir sejak 22 November lalu.

Katanya, sebaik sampai di rumah, dia terkejut melihat rumahnya dipenuhi kesan lumpur, manakala sebahagian barangan yang ada di tingkat bawah ditenggelami air.

"Ketika kejadian, saya pulang ke Malaysia tetapi isteri tinggal di Hat Yai dan hanya berlindung di tingkat atas rumah dua tingkatnya di sini.

"Tingkat bawah rumah ditenggelami air dan hanya lagi dua anak tangga air hendak masuk di tingkat atas rumah dan ketika itu isteri hanya berdoa supaya air cepat surut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Qushairy berkata, sepanjang perjalanan dari negara ini hendak pulang ke rumah, dia nampak banyak kenderaan terutama kenderaan Malaysia yang masih terkandas di lokasi banjir akibat tenggelam dalam banjir.

Katanya, ada juga kenderaan terbabit yang dihanyutkan banjir sejauh satu kilometer hingga ke rumahnya disebabkan arus deras.

"Tak dapat saya gambarkan keadaan sekarang kerana ia seolah-olah seperti kesan akibat tsunami.

"Semalam saya pulang untuk mencuci rumah dan mendapati sebuah kereta saya juga rosak ditenggelami air, manakala motosikal juga diselaputi lumpur.

"Saya nak selesaikan cuci rumah terlebih dahulu dan lepas tu baru saya nak ke kedai makan saya tidak jauh dari rumah untuk mencuci di sana pula," katanya.

Ahmad Qusyairi berkata, sehingga semalam, masih ada sukarelawan dari Malaysia yang ada di Hat Yai membantu menghantar bantuan makanan, ubat-ubatan untuk rakyat negara ini yang masih berada di hotel kerana mempunyai urusan.

Katanya, dia tidak dapat menganggarkan kos kerosakan yang berlaku akibat banjir yang menyebabkan rumah, kenderaan serta kedai makannya rosak.

"Kalau nak mulakan semula perniagaan kedai makan mungkin mengambil masa yang lama untuk beroperasi semula kerana banyak barang yang rosak.

"Bandar Hat Yai kini boleh dikunjungi tetapi setakat ini tiada apa yang boleh dilawati kerana semuanya musnah akibat banjir," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search