PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

370 anggota DBKL siap siaga hadapi musibah musim monsun - Dr Zaliha

370 anggota DBKL siap siaga hadapi musibah musim monsun - Dr Zaliha

KUALA LUMPUR: Susulan amaran monsun dan kesan ribut tropika yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meletakkan 370 petugas dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang insiden yang berkemungkinan berlaku di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata sebanyak 15 lokasi tumpuan yang berisiko banjir dikenal pasti dan dipantau secara berterusan sepanjang musim ini.

"Dalam tempoh cuaca yang tidak menentu, kita tidak boleh berkompromi dalam urusan keselamatan rakyat," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau turut menerima taklimat kesiapsiagaan daripada DBKL susulan amaran monsun dan kesan ribut tropika sebelum meninjau dua lokasi berisiko tinggi, iaitu kawasan tanah mendap di Jalan Masjid India dan lokasi tanah runtuh di Taman United.

Tinjauan itu turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Noridah Abdul Rahim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud.

 

"Di Jalan Masjid India, saya meninjau kawasan tanah mendap yang berlaku baru-baru ini. Saya telah mengarahkan DBKL untuk melaksanakan kajian terperinci supaya kejadian seperti ini tidak berulang dan keselamatan kawasan sentiasa terjamin.

"Di Taman United pula, saya meninjau lokasi tanah runtuh yang berlaku ketika hujan lebat dua minggu lepas. Alhamdulillah, tindakan segera telah diambil termasuk pengosongan 52 unit rumah berisiko, dan kerja-kerja pembaikan dijangka siap sebelum penghujung Disember ini," katanya.

Beliau turut meminta DBKL dan agensi yang berkaitan supaya semua tindakan mesti dilakukan dengan pantas selain melakukan penyelarasan rapi serta komunikasi yang jelas dengan penduduk yang terbabit.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search