PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Siapsiaga APM tahap optimum hadapi bencana

Siapsiaga APM tahap optimum hadapi bencana

PETALING JAYA: Kesiapsiagaan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berada pada tahap optimum khususnya di Kelantan bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan paras air dan banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih 1,205 anggota APM Kelantan te­lah diaktifkan termasuk pasukan tambahan dari negeri-negeri berhampiran yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa sahaja.

Katanya, berdasarkan laporan terkini bencana dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), sehingga pukul 4 petang semalam, Kelantan antara yang terjejas teruk dengan rekod mangsa banjir tertinggi iaitu melibatkan 9,503 orang membabitkan 3,487 keluarga.

“Bagi memastikan keselamatan rakyat, khususnya di kawasan yang dikenal pasti be­risiko tinggi, APM turut bersiap siaga bersama 91 aset darat dan air termasuk pelbagai jenis bot, ambulans, lori pelbagai guna, kenderaan pacuan empat roda, dron pemantauan serta peralatan menyelamat di air.

“Selain itu, operasi pemantauan situasi cuaca, paras air sungai dan kawasan cerun be­risiko turut dipertingkatkan melalui pemantauan bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang beroperasi 24 jam bersama Langkah Mandatori dan Tindakan Proaktif APM,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Langkah Mandatori dan Tindakan Proaktif APM itu termasuk pengaktifan awal Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM di semua daerah termasuk Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai, Tanah Merah, Bachok dan daerah yang berisiko.

“Rondaan berkala menggunakan aset darat dan air di kawasan berisiko banjir dan hebahan maklumat terkini melalui media sosial APM serta kerjasama rapat dengan agensi lain pengurusan bencana.,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga telah memastikan semua mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibekalkan dengan barang keperluan bencana yang secu­kupnya seperti makanan asas, khemah, barang keperluan diri, ubat-ubatan dan sebagainya.

Justeru, katanya, beliau meng­gesa semua mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS dan penduduk yang berada di kawasan berisiko agar mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa, bagi mengelak dan me­ngurangkan impak bencana terhadap nyawa serta harta benda.

“Saya juga menyarankan agar semua pihak mendapatkan maklumat dan amaran semasa situasi banjir melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPSInfoBanjir.

“Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

“Saya berdoa dan berharap agar kejadian ini tidak membawa kerosakan yang besar serta semua mangsa tabah dan sabar melalui dugaan ini,” katanya. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search