PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Usah sambut musim tengkujuh dengan skrip sama

Usah sambut musim tengkujuh dengan skrip sama

SEPERTI 'acara' tahunan tidak pernah gagal hadir, musim tengkujuh kembali membawa banjir yang makin memburuk ke lapan negeri setakat ini, dengan lebih 13,000 mangsa daripada 4,734 keluarga sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 5 petang semalam.

Kelantan paling terkesan dengan lebih 9,600 mangsa di 38 PPS, disusuli Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Sarawak. Dengan hujan lebat, jumlah mangsa meningkat dari semasa ke semasa, malah negeri lain tidak boleh berasa selamat kerana sudah banyak kali kita dikejutkan dengan bencana ini, terutama akibat perubahan iklim.

Memang benar, Malaysia sudah mempunyai keupayaan operasi yang mantap, terutama memindahkan mangsa, mencari dan menyelamat (SAR) serta pengagihan bantuan. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bomba, polis, Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ribuan petugas lapangan menjalankan latihan berkala, malah ada protokol tersusun bagi pemindahan, logistik dan pengurusan PPS. Namun, persoalan asas tetap menghantui kita, iaitu mengapa banjir masih membawa impak sebesar ini setiap kali dan pola kerosakan tidak banyak berubah walaupun pengalaman mengajar kita begitu lama?

Hakikat yang pahit untuk ditelan adalah kelemahan paling besar bukannya persediaan dan persiapan menghadapi banjir, sebaliknya pembangunan tidak lestari dan perbandaran tidak mampan hingga longkang tersumbat, sistem saliran tidak dinaik taraf dan kawasan hijau ditukar kepada projek komersial, malah pembangunan baharu tidak mengambil kira kapasiti tadahan air, semuanya menyumbang kepada limpahan air yang akhirnya menjadikan kampung dan bandar sebagai mangsa. Selagi kita membiarkan perancangan fizikal dilakukan tanpa disiplin, selagi itulah bencana alam biasa berubah menjadi tragedi manusia, saban tahun.

Pada masa sama, insiden 4,000 rakyat Malaysia terperangkap di Hatyai akibat banjir kilat perlu dibaca sebagai manual menghadapi bencana baharu kerana dalam dunia saling terhubung, risiko bencana tidak lagi terbatas di sempadan negara.

Apatah lagi, pergerakan rakyat kita tinggi dengan jumlah pelancong Malaysia ke negara jiran semakin meningkat, ia menunjukkan pihak berkuasa, terutama Wisma Putra perlu proaktif memberikan nasihat perjalanan dari semasa ke semasa serta menghebahkannya dengan lebih meluas.

Dalam perenggan berasingan, kita juga perlu menilai semula sejauh mana penggunaan teknologi maklumat membantu kesiapsiagaan negara. Sistem amaran awal, ramalan cuaca jangka pendek, pemetaan risiko melalui imejan satelit serta aplikasi maklum balas kecemasan masih belum dimanfaatkan secara optimum. Kita sering lambat 'membaca' pola taburan hujan ekstrem, sedangkan teknologi hari ini boleh memberi maklumat hampir waktu nyata, manakala kelemahan komunikasi risiko kepada masyarakat turut memperlahankan tindakan pemindahan, menyebabkan mangsa terkepung sebelum bantuan sempat tiba.

Banjir tidak dapat dielakkan kerana monsun timur laut pasti datang setiap tahun. Namun, kemusnahan dan kehilangan nyawa boleh dikurangkan jika kita lebih jujur menilai kelemahan, memperbaiki sistem perancangan dan memanfaatkan teknologi, manakala masyarakat mendengar amaran pihak berkuasa tanpa kompromi. Jika tidak, setiap tahun kita hanya mengulang babak sama, malangnya dengan skrip semakin pahit.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search