‘Township’ baharu dirancang di Sebauh, atasi kesesakan dan risiko banjir
- Admin UKK
- Berita
SEBAUH, 23 Nov: Perancangan untuk membangunkan sebuah ‘township’ baharu di Sebauh kini sedang dirangka bagi menyediakan kawasan pembangunan yang lebih tersusun, selamat dan mampan selaras dengan statusnya sebagai daerah penuh.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kemudahan keselamatan dan kesihatan turut menjadi keutamaan termasuk pembinaan balai polis, balai bomba dan klinik baharu.
“Sebauh kini telah diwartakan sebagai sebuah daerah penuh. Dengan status ini, kita memerlukan kemudahan keselamatan yang lebih lengkap. Jadi, bukan lagi sekadar pondok polis, tetapi kita memerlukan sebuah balai polis yang sebenar.Kita juga memerlukan balai bomba serta sebuah klinik baharu yang lebih sesuai dan moden. Semua kemudahan ini perlu dinaik taraf agar selaras dengan status daerah penuh. Inilah sebabnya pembangunan ini sangat penting untuk mengubah dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat di Sebauh.
“Saya amat bersyukur kerana semua ini akhirnya dapat direalisasikan pada waktu yang tepat. Setelah sekian lama kita merancang, melalui pelbagai prosedur dan permohonan, kini kita akhirnya berada pada tahap untuk memulakan pembinaan projek-projek ini,” kata ketika melakukan lawatan kerja ke tapak projek pembangunan di Pekan Sebauh pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan stadium bernilai RM8 juta serta projek gereja dan masjid masing-masing bernilai RM10 juta melalui pembiayaan alternatif akan menjadi komponen penting dalam pembentukan pusat komuniti moden di kawasan berkenaan.
“Pembinaan sebuah gereja dan masjid yang terletak bersebelahan di Pekan Sebauh dijangka menjadi mercu tanda baharu yang mencerminkan keharmonian dan perpaduan masyarakat setempat.Pembinaan dua rumah ibadat ini akan melengkapkan pembangunan komuniti setempat. -TVS
