PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir Hatyai: ‘Kami cuba keluar esok, bimbang gelombang kedua’

Banjir Hatyai: ‘Kami cuba keluar esok, bimbang gelombang kedua’

BUKIT KAYU HITAM – Ramai rakyat Malaysia yang masih terkandas di Hatyai, Thailand dijangka cuba untuk keluar dari kawasan itu pada esok kerana bimbang sekiranya berlaku gelombang kedua banjir.

Pengurus Besar Cuti Cuti Langkawi Sdn. Bhd., Dr. Baharin Baharom berkata, setakat ini, kesemua rakyat Malaysia yang berada di Paradise Hotel masih belum dapat keluar dari situ.

“Banjir nampak surut tetapi masih hujan. Bekalan elektrik tiada dan terdapat juga gangguan talian telefon.

“Esok kami minta lori untuk keluar yang mana ada amaran gelombang kedua banjir,” katanya hari ini.

Menurutnya, setakat ini dia hanya nampak helikopter pihak berkuasa Thailand berlegar, namun tiada bot penyelamat kelihatan di situ.

Sementara itu, katanya, mereka mendapat bantuan makanan berupa nasi berlaukkan tauge dan kacang panjang, manakala air bersih dicatu.

“Ada juga peniaga yang menyumbangkan makanan dan minuman kepada kami dengan meletakkan peti sejuk di hadapan hotel. Mungkin mereka agihkan makanan itu sebelum ia rosak ekoran tiada bekalan elektrik,” ujarnya.

Baharin mengetuai 10 kakitangan Cuti Cuti Langkawi ke wilayah Songkhla bagi lawatan jaringan usaha sama pakej pelancongan Langkawi dan Selatan Thailand. – KOSMO! ONLINE
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search