Jangan guna laluan sementara Felda Aring–Tasik Kenyir
- Admin UKK
- Berita
KUALA TERENGGANU – Orang ramai dinasihatkan agar tidak menggunakan laluan sementara Felda Aring–Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dekat sini yang dibina kontraktor kerana ia tidak selamat dan berisiko tinggi buat kegunaan awam.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat, berkata, laluan itu sebenarnya dibina secara tidak rasmi oleh pihak kontraktor terlibat bagi tujuan kerja harian mereka.
“Laluan tidak rasmi itu dibina oleh sebuah syarikat (kontraktor) bagi memudahkan urusan mereka, tetapi ada juga orang awam yang menumpang lalu.
“Jalan tersebut tidak selamat digunakan (untuk kenderaan awam) terutama pada musim hujan kerana keadaan tanah yang licin dan berisiko,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sidang DUN Terengganu ke-15 di sini hari ini.
