PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Belém Summit platform tangani krisis iklim global

Belém Summit platform tangani krisis iklim global

BRAZIL, 11 Nov: Sidang Kemuncak Iklim Belém (Belém Climate Summit) kini berlangsung di kota Belém, Brazil dengan kehadiran pemimpin dan wakil daripada 153 delegasi seluruh dunia bagi membincangkan hala tuju tindakan terhadap krisis iklim global.

Dalam ucapan pembukaannya, Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva menekankan kepentingan mempercepatkan peralihan tenaga dan memperkukuh perlindungan hutan sebagai langkah paling berkesan mengekang pemanasan global.

“Mempercepatkan peralihan tenaga dan melindungi alam semula jadi adalah dua jalan paling berkesan untuk membendung pemanasan global.

“Kita memerlukan pelan tindakan yang mampu mengurangkan kadar penebangan hutan, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan menggerakkan sumber kewangan secara adil serta terancang,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penganjuran sidang kemuncak di tengah-tengah Hutan Amazon membawa simbolisme besar kerana kawasan itu merupakan hutan tropika terbesar di dunia dan menjadi lambang perjuangan alam sekitar global.

“Buat pertama kali dalam sejarah, sebuah COP mengenai iklim akan diadakan di jantung Amazon. Tiada simbol yang lebih besar terhadap perjuangan alam sekitar selain hutan hujan Amazon,” ujarnya.

Lula turut mengingatkan bahawa khazanah semula jadi dunia kini berdepan ancaman akibat perubahan iklim yang semakin ketara.

“Tahun 2024 mencatatkan suhu purata bumi melebihi 1.5 darjah Celsius berbanding paras pra-industri. Walaupun peningkatan ini dijangka berterusan, kita tidak boleh berputus asa terhadap matlamat Perjanjian Paris,” tegasnya.

Beliau juga menzahirkan kekecewaan terhadap kelewatan tindakan global menangani perubahan iklim meskipun kesedaran mengenainya telah wujud lebih tiga dekad lalu.

“Manusia telah menyedari impak perubahan iklim sejak lebih 35 tahun lalu melalui laporan pertama IPCC. Namun hanya selepas 28 persidangan barulah keperluan meninggalkan bahan api fosil dan menghentikan penebangan hutan diiktiraf secara rasmi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Sidang Kemuncak Iklim Belém perlu menjadi platform penting bagi memperkukuh tindakan global.

“COP30 akan menjadi COP kebenaran. Sudah tiba masanya kita mengambil serius amaran sains, menghadapi realiti dan membuat keputusan sama ada kita mempunyai keberanian serta tekad untuk mengubah keadaan,” katanya lagi.

Lula menekankan bahawa krisis iklim hanya dapat ditangani melalui kerjasama antarabangsa dan pengukuhan sistem pelbagai hala.

“Masyarakat mungkin tidak memahami istilah teknikal seperti ‘emisi’ atau ‘metrik tan karbon’ tetapi mereka merasai kesannya melalui pencemaran dan cuaca ekstrem,” jelasnya.

Sementara itu, Malaysia turut diwakili oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, yang hadir bersama empat pegawai kementerian serta 20 pegawai dari Kementerian Sumber Asli dan Kemampanan Alam Sekitar Malaysia.

Dr Hazland dijadual menyampaikan ucapan dasar bertajuk “The Sarawak Journey” dalam sesi Science Panel for Borneo, berkongsi pengalaman serta inisiatif Sarawak dalam memperkukuh agenda tenaga hijau, termasuk pembangunan hidrogen, tenaga boleh diperbaharui dan perlindungan biodiversiti Borneo.

Sidang Kemuncak Iklim Belém menjadi medan penting menjelang penganjuran COP30 tahun depan, yang dijangka menjadi titik tolak utama menilai semula komitmen global terhadap matlamat iklim dunia. -TVS

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search