Lebih 100,000 anggota, 34,000 aset bersiap sedia hadapi banjir - NADMA
- Admin UKK
- Berita
PUCHONG: Lebih 103,000 anggota dan 34,000 aset sudah bersiap sedia di seluruh negara bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL), yang dijangka bermula pada 6 November dan berterusan hingga 26 Mac tahun depan.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah, berkata penggemblengan ini membabitkan tenaga kerja dan aset daripada semua agensi tindak balas dan teknikal utama di bawah Mekanisme Tindak Balas Bencana Negara.
"Kekuatan kita bagi musim ini membabitkan lebih 103,000 anggota tindak balas dan lebih 34,000 aset operasi daripada NADMA, polis, angkatan tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta agensi lain.
"Setiap agensi kini berada pada tahap berjaga-jaga tinggi bagi memastikan tindakan pantas dan bersepadu dapat dilakukan apabila bencana berlaku," katanya pada sesi libat urus media mengenai kesiapsiagaan kerajaan menghadapi MTL di Pangkalan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di sini, hari ini.
Abdul Halim berkata, tujuh jambatan keluli modular (jambatan Bailey) sudah diperoleh dan diletakkan lebih awal di Kelantan, Sarawak dan Sabah bagi memperkukuh keupayaan logistik di kawasan berisiko banjir.
"Sebanyak 49 jambatan modular akan tersedia di seluruh negara melalui NADMA, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kor Jurutera Angkatan Tentera (RAJD).
"Jambatan dan bot antara aset paling penting bagi memastikan akses ke kawasan terjejas. Tumpuan tahun ini ialah kepada pra-penempatan aset, bukan pergerakan secara reaktif," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 8,940 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan kapasiti gabungan lebih 2.17 juta orang sudah dikenal pasti dan ditempatkan di bawah seliaan Jawatankuasa Bencana Daerah.
"Negeri dengan jumlah PPS tertinggi ialah Johor (1,185 pusat), Selangor (1,169) dan Kelantan (535).
"Sebanyak 15 Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) baharu pula sedang dibina, selain tiga projek naik taraf untuk meningkatkan kapasiti perlindungan jangka panjang," katanya.
Abdul Halim berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menguruskan pusat berkenaan dengan bantuan sukarelawan tempatan dan pemimpin komuniti yang dilatih di bawah program pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti (CBDRM) Madani Siaga.
"Bagi bantuan kemanusiaan segera, sebanyak 60,000 kit makanan dan 110,000 pek makanan siap dimakan (MRE) diperuntukkan untuk musim monsun kali ini.
"Daripada jumlah itu, 23,600 kit makanan dan 20,570 MRE sudah dihantar ke stor bencana negeri pada agihan Fasa 1.
"Keutamaan kami ialah kesiapsiagaan pada peringkat akar umbi daripada logistik, pemindahan hingga bekalan makanan.
"Setiap negeri menerima bekalan awal bantuan pra-penempatan," katanya.
Abdul Halim berkata, sebanyak 16 latihan simulasi bencana peringkat kebangsaan (termasuk latihan meja dan lapangan) serta tujuh bengkel dijalankan sepanjang tahun ini bagi menguji kesiapsiagaan dan koordinasi antara agensi.
Beliau berkata, latihan ini membabitkan simulasi banjir, empangan, tanah runtuh dan operasi mencari serta menyelamat di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah.
"Kesiapsiagaan bukan sekadar mengenai peralatan, tetapi juga koordinasi, komunikasi dan kecekapan. Matlamat kami adalah memastikan setiap agensi bertindak secara lancar dalam situasi sebenar," katanya.
Beliau berkatam menurut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), terdapat 3,683 lokasi panas banjir dikenal pasti di seluruh negara, iaitu menurun daripada 4,619 tahun lalu dan 5,648 pada 2023.
"Namun, beberapa jalan dan cerun berisiko tinggi masih dipantau rapi, termasuk di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, serta kawasan mudah runtuh seperti Gunung Jerai, Cameron Highlands, Kundasang dan Kapit.
"Secara keseluruhan, landskap risiko kita menunjukkan pengurangan hotspot, tetapi impak di kawasan terjejas masih boleh menjadi serius.
"Mesej utama ialah kesiapsiagaan menyelamatkan nyawa," katanya.
