PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

New Zealand keluarkan amaran angin kencang tahap merah susulan ribut musim bunga yang jarang berlaku

New Zealand keluarkan amaran angin kencang tahap merah susulan ribut musim bunga yang jarang berlaku

WELLINGTON: Agensi cuaca New Zealand mengeluarkan amaran angin kencang tahap merah (tertinggi) yang jarang berlaku.

Pihak berkuasa turut mengisytiharkan keadaan darurat di wilayah Canterbury apabila ribut musim bunga yang kuat membawa angin kencang dan hujan lebat melanda Pulau Selatan dan bahagian bawah Pulau Utara hari ini.

Semua penerbangan masuk dan keluar dari Wellington, ibu negara, serta Christchurch di Canterbury dibatalkan, beberapa perkhidmatan kereta api digantung dan beberapa kemudahan kerajaan seperti perpustakaan turut ditutup.

Agensi Pengangkutan New Zealand turut menutup beberapa jalan raya dan berlaku gangguan bekalan elektrik yang ketara.

Media menyiarkan imej silo tumbang, pagar roboh, lori terbalik serta banjir permukaan di kawasan terjejas.

 

MetService memaklumkan angin barat laut yang kuat dijangka menghasilkan tiupan merbahaya sehingga 150 kilometer sejam berhampiran Christchurch dan kawasan pesisiran Pulau Selatan bahagian bawah serta sehingga 140 kilometer sejam di beberapa kawasan Wellington dan Wairarapa hari ini, dengan hujan lebat turut diramal di beberapa kawasan lain.

Amaran tahap merah hanya dikeluarkan untuk kejadian paling ekstrem dan orang ramai diminta untuk kekal berada di tempat berlindung, sementara bangunan kerajaan seperti perpustakaan dan taman rekreasi ditutup di kawasan yang paling terjejas.

Agensi Pengurusan Kecemasan Negara memaklumkan keadaan darurat bagi wilayah Canterbury berkuat kuasa semalam bagi membolehkan pihak berkuasa menggerakkan sumber serta mengeluarkan arahan ketika keadaan bertambah buruk.

Sementara itu, Pasukan bomba bertungkus lumus memadam kebakaran hutan di Hawke's Bay, pantai timur Pulau Utara.

Kebakaran itu kebanyakannya sudah terkawal, menurut kenyataan daripada Pasukan Bomba dan Kecemasan Hawke's Bay.

TVNZ melaporkan, kebakaran besar pada tumbuhan juga berlaku berhampiran Hanmer Springs, pantai timur Pulau Selatan, yang sukar diakses pasukan bomba kerana jalan raya tersumbat oleh pokok tumbang.

Pihak Bomba dan Kecemasan New Zealand (FENZ) dalam kenyataan memaklumkan pasukan mereka sedang bertindak balas terhadap beberapa insiden dan meminta orang ramai berhati-hati dengan pokok tumbang, talian elektrik jatuh, serpihan berterbangan serta mengelak daripada menggunakan jalan raya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search