PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir di Kedah, Pulau Pinang: 5 PPS dibuka di Kulim

Banjir di Kedah, Pulau Pinang: 5 PPS dibuka di Kulim

KULIM: Lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini susulan banjir yang melanda akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Alif Ahmad berkata, PPS yang dibuka setakat ini adalah di Taman Sang Kancil; PPS di Sekolah Menengah Agama (SMK) Insaniah, Jangkang; PPS Dewan Surau Kampung Paya Tok Betok, Sungai Ular; PPS Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Khi Min), Pekan Karangan dan PPS Sekolah Kebangsaan Pagar Museh.

Beliau berkata, maklumat lanjut akan menyusul berikutan operasi penyelamatan dan pemantauan masih dilakukan ketika ini.

Untuk rekod, dua PPS iaitu Taman Sang Kancil dan Dewan Surau Kampung Paya Tok Betok baru ditutup pada 19 Oktober lalu susulan banjir kilat yang melanda daerah itu sebelum ini.

Sementara itu di Sungai Petani, jumlah mangsa banjir akibat air pasang besar di Kampung Huma, Tanjung Dawai yang ditempatkan PPS di SJKC Chong Cheng meningkat kepada 52 mangsa daripada 24 keluarga setakat jam 12 tengah malam tadi.

Jumlah itu meningkat berbanding 50 mangsa daripada 23 keluarga yang dilaporkan sebelum ini.

Sementara itu di Bayan Lepas, Pulau Pinang, beberapa kawasan di sini dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan.

Kawasan yang terjejas ialah ialah Teluk Kumbar,Sungai Batu dan Kampung Seronok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, hujan lebat dan berpanjangan itu menyebabkan sungai melimpah.

Katanya, ia turut menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung jumlah air yang banyak walaupun air laut surut pada ketika ini.

"Saya sudah mohon bantuan daripada agensi kerajaan bagi memantau dan membantu.

"Talian hotline Bilik Gerakan Daerah Barat Daya juga sudah dibuka, diharap semuanya bersabar dan berwaspada," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Azrul Mahathir berkata, pihaknya juga turut memohon bantuan PDRM bagi mengawal keadaan trafik yang sesak di lampu isyarat Sungai Batu.

Difahamkan, pada ketika ini, agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap sedia di lokasi dan melakukan pemantauan.

Beberapa foto dan video mengenai banjir di kawasan berkenaan turut dikongsi di media sosial, yang memaparkan air deras dan naik dengan cepat.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search