Ribut Benjamin jejas perjalanan, penerbangan tergendala di Belanda
- Admin UKK
- Berita
THE HAGUE, 23 Okt: Ribut Benjamin melanda Belanda pada Khamis, menyebabkan gangguan perjalanan yang meluas, lapor Xinhua.
Institut Meteorologi Diraja Belanda (KNMI) mengeluarkan amaran “Kod Jingga”, iaitu amaran kedua tertinggi bagi wilayah pantai barat negara itu, dengan meramalkan tiupan angin kencang sehingga 120 km sejam.
Agensi itu memberi amaran mengenai risiko pokok tumbang, kerosakan harta benda serta gangguan di jalan raya dan pengangkutan awam.
Bagi perkhidmatan kereta api, pengendali Dutch Railways memaklumkan jadual perjalanan dikurangkan sambil memberi amaran tentang masa perjalanan yang lebih lama dan keperluan membuat pertukaran tren.
Bagi perjalanan udara, syarikat penerbangan utama Belanda, KLM, membatalkan puluhan penerbangan dari habnya di Lapangan Terbang Schiphol dan memberi amaran kemungkinan berlaku kelewatan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol Amsterdam turut menasihati semua penumpang supaya menyemak laman sesawang rasminya bagi mendapatkan maklumat terkini penerbangan sebelum melakukan perjalanan.
Menurut KNMI, angin kencang akibat Ribut Benjamin dijangka beransur reda sepanjang Jumaat. -TVS
