Lapan PPS dibuka di Perak
- Admin UKK
- Berita
TAIPING: Hujan lebat sejak petang tadi menyebabkan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua daerah di Perak, melibatkan 180 mangsa daripada 44 keluarga setakat pukul 10 malam tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), kesemua PPS beroperasi di daerah Manjung serta Larut, Matang dan Selama dengan pemindahan dijalankan secara berperingkat sejak pukul 7.30 malam.
Di Manjung, dua PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu, Pantai Remis dan SAR Padang Serai, Pengkalan Baru.
PPS SK Sungai Batu menempatkan kesemua 180 mangsa daripada 44 keluarga yang berasal dari Kampung Sungai Batu, Kampung Nelayan dan Kampung Parit Marikan.
Sementara itu, di Larut, Matang dan Selama, enam PPS dibuka iaitu di Dewan Orang Ramai Simpang Halt, Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong, Dewan Perdana Trong, Dewan Serbaguna Masjid Al-Wusta Batu 8, Masjid Ali Rouse dan SK Simpang.
Bagaimanapun, setakat laporan diterima, tiada mangsa direkodkan di PPS berkenaan kerana proses pemindahan masih dijalankan.
Antara agensi yang terlibat dalam operasi pemindahan dan pemantauan termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Sementara itu, paras air di beberapa sungai utama di negeri ini kekal di bawah paras bahaya termasuk Sungai Kerian di Selama (9.66 meter) dan Sungai Kurau di Batu Kurau (21.14 meter).
Empangan Bukit Merah mencatat bacaan 8.19 meter, masih dalam keadaan selamat dengan kapasiti simpanan air sebanyak 78.82 peratus.
MetMalaysia dalam kenyataan turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan berterusan di beberapa kawasan di negeri ini malam ini.
Orang ramai terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan berwaspada serta mengikuti perkembangan semasa melalui portal rasmi publicinfobanjir.water.gov.my dan media rasmi agensi kerajaan. – UTUSAN
