PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Daerah Manjung, Larut, Matang dan Selama dilanda banjir

Daerah Manjung, Larut, Matang dan Selama dilanda banjir

IPOH: Daerah Larut, Matang & Selama (LMS) serta Manjung dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan hari ini, dengan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat jam 10 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan lapan PPS dibuka membabitkan enam PPS di daerah LMS manakala dua lagi PPS di daerah Manjung.

Bagaimanapun, ia memaklumkan setakat ini hanya 180 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sg Batu dekat Pantai Remis bagi daerah Manjung, sementara tujuh PPS selebihnya masih dalam proses pemindahan mangsa.

"Di Manjung juga terdapat satu lagi PPS dibuka di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai, Pengkalan Baru manakala di daerah LMS, enam PPS dibuka setakat jam 10 malam ini.

"Namun, setakat ini belum terdapat angka dicatatkan bagi mangsa di enam PPS di daerah LMS serta satu di Manjung iaitu PPS SAR Padang Serai," katanya.

Menurutnya, PPS di SK Sg Batu menempatkan 180 mangsa banjir membabitkan 44 keluarga dari Kampung Sg Batu, Kampung Nelayan, serta Kampung Parit Marikan.

DI LMS, PPS dibuka di Dewan Orang Ramai (DOR) Simpang Halt, Taiping; DOR Sungai Batu, Trong; Dewan Perdana Trong; Dewan Serbaguna Masjid Al-Wusta Batu 8; Masjid Ali Rouse; dan SK Simpang.

"Bagaimanapun, setakat ini jumlah mangsa dan keluarga di enam PPS di daerah LMS berkenaan belum ada kerana masih dalam proses pemindahan," katanya.

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati banyak kawasan di Taiping termasuk membabitkan kawasan perumahan di bandar turut dilanda banjir.

Facebook (FB) Pusat Khidmat ADUN Selama memuatnaik hantaran menyatakan banjir kilat berlaku antaranya di Changkat Larah, Taman Kota Wira, Taman Lela 1, Taman Larah Damai, Taiping.

Video rakaman menunjukkan beberapa individu memekik meminta bantuan susulan keluarga mereka sedang terperangkap banjir yang menghampiri paras satu meter di kediaman jenis teres, dipercayai dalam kawasan daerah LMS, tular di Facebook.

Turut tular adalah gambar bayi yang dikendong seorang lelaki yang sedang terperangkap banjir dipercayai di rumahnya.

 
 
 
 
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search