Penduduk risau jalan runtuh berulang
- Admin UKK
- Berita
KUALA NERUS: Penduduk Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini semakin bimbang dengan keadaan hakisan pantai yang semakin kritikal dan dikhuatiri menyebabkan kejadian jalan runtuh berulang seperti yang berlaku awal tahun ini.
Hakisan tidak jauh dari lokasi kejadian runtuhan terdahulu semakin merebak melibatkan jarak sepanjang lebih tiga kilometer (km).
Seorang penduduk, Rosli Harun, 61, berkata, hakisan mula dikesan sejak hujung tahun lalu namun keadaan bertambah buruk sejak kebelakangan ini khususnya ketika waktu hujan.
“Keadaan semakin membimbangkan kerana ombak besar terus menghakis tebing pantai dan tanah menghampiri jalan.
“Kalau tiada tindakan segera, tidak mustahil jalan utama di kampung ini runtuh lagi seperti kejadian sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Katanya, penduduk telah beberapa kali mengemukakan aduan namun sehingga kini tiada tindakan konkrit diambil.
“Kami harap kerajaan dapat ambil serius isu ini sebelum berlaku sesuatu yang lebih buruk. Kami sudah alami kerugian sebelum ini, jangan biar berulang,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Yazit Idris, 65, juga gusar apatah lagi kediamannya sangat hampir dengan kawasan tebing yang terjejas.
“Jangan tunggu sampai jalan runtuh seperti sebelum ini. Musim tengkujuh pun sudah dekat jadi tindakan sewajarnya perlu diambil,” katanya.
Sebelum ini, kerja-kerja membaik pulih jalan dan tebing yang runtuh di laluan Jalan Mengabang Telipot–Batu Rakit (Pantai) sudah dilaksanakan Jabatan Kerja Raya dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Mohd. Shafizi Ismail berkata, dia sudah meninjau kawasan tersebut dan mendapati hakisan semakin menghampiri jalan utama iaitu kira-kira dua meter.
Katanya, risiko hakisan pantai yang semakin serius di kawasan Lot 9349 menimbulkan kebimbangan penduduk setempat apabila kerja pembaikan tidak dapat dijalankan sehingga urusan pengambilan balik tanah diselesaikan sepenuhnya.-UTUSAN.
